|


|
|
Kegiatan perlombongan bijih besi
di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli kajibumi dari Jepun, Mr.
Kuhara datang ke Cemuak, Ulu Dungun pada tahun 1916 dan mendapati
terdapat kandungan bijih besi dengan jumlah yang besar di kawasan tersebut.
Di zaman permulaan, bijih besi diangkut
dengan kereta tolak daripada Bukit Besi ke Kg. Dendang. Kemudian ia dibawa
ke Dungun menggunakan bot. Syarikat Kuhara Mining Ltd telah menjalankan
kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927. Ia kemudian
ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC).
'Mining Lease' telah dikeluarkan dengan
rasmi oleh Kerajaan Terengganu kepada NMC pada 13.1.1929. Kawasan tersebut
seluas 1080 ekar, terdiri daripada M.L. 129, M.L. 130, M.L. 131 dan M.L.
132 adalah pecahan daripada M.L. 75, iaitu kawasan
yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya,
Tengku Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. |