Pilih Saiz Tulisan :
Pilih Warna Tulisan :
expand
perutusan pengurus besar
PERUTUSAN PENGURUS BESAR KETENGAH SEMPENA TAHUN BARU 2010
 
 pengurus besar
Assalaamualaikumwarahmatullaahiwabarakaatuh,
 
     Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t yang telah menlanjutkan usia kita semua sehingga dapat kita menyambut kedatangan tahun baru 2010. Tahun baru ini pasti datang dengan pelbagai cabaran yang menuntut kita berusaha dengan lebih gigih bagi mempastikan apa juga perancangan yang telah dibuat dapat dijayakan dengan sempurna.

Ada baiknya kita mengimbas sejenak akan tahun 2009 yang telah berlalu bagi menilai kembali pencapaian kita di samping mengenalpasti kekuatan, kekurangan serta kelemahan-kelemahan kita sepanjang tempoh tersebut. Ia penting dalam usaha untuk merangka serta melaksanakan langkah-langkah pembaikan bagi memperbaiki pencapaian untuk tahun ini dan tahun-tahun ke hadapan.

Bagi tahun 2009 prestasi perbelanjaan KETENGAH ialah 97% manakala prestasi fizikal belum muktamad ialah 87.3%. Prestasi ini boleh dikira memuaskan dan mengatasi prestasi nasional dan juga prestasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk tahun 2009. Saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada setiap orang pegawai dan kakitangan KETENGAH yang telah menyumbang kepada kejayaan ini.

Walau bagaimanapun kita tidak boleh berpuas hati lantas berpeluk tubuh di atas kemampuan kita ini kerana masih banyak lagi ruang-ruang yang boleh diperbaiki bagi mengukir kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Cabaran-cabaran baru akan sentiasa ada dan ini memerlukan kita mempunyai perancangan dan pelaksanaan yang jitu demi memenuhi aspirasi negara dan keperluan pelanggan.

Tahun 2010 merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia ke-9. Bagi tahun ini sejumlah RM18.76 juta telah diluluskan kepada KETENGAH untuk Belanja Pembangunan. Sementara itu sebanyak RM18.08 juta telah diperuntukkan sebagai Belanja Mengurus. Berasaskan bajet tersebut Pengurusan KETENGAH telah merangka pelbagai program dan projek pembangunan untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2010 di dalam usaha meneruskan kesinambungan pembangunan untuk rakyat di wilayah KETENGAH.

Kita juga amat berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi KETENGAH yang cukup prihatin dengan pembangunan di Wilayah KETENGAH dengan memberikan peruntukan khusus sebanyak RM50 jtua bagi tahun 2009 dan sebanyak RM3.6 juta untuk pembinaan rumah kedai baru di Bandar Al-Muktaffi Billah Shah bagi tahun 2009. Bagi tahun 2010 pula YAB Menteri Besar telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pembangunan Tasik Kenyir.

Empat tumpuan utama yang akan menjadi keutamaan kita pada tahun ini ialah:
1. Pembasmian kemiskinan iaitu melalui program-program ekonomi dan sosial yang dapat membantu golongan PPRT keluar dari belenggu kemiskinan.
2. Peningkatan pendapatan penduduk melalui program-program ekonomi dan keusahawanan dan juga pewujudan peluang-peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.
3. Pembangunan bandar dan infrastruktur bagi mengubah wajah dan landskap wilayah KETENGAH agar lebih terserlah dan menepati hirarki pembangunan perbandaran.
4. Pembangunan Tasik Kenyir ke arah menjadikannya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang bertaraf antarabangsa.

Keempat-empat penekanan di atas adalah selari dengan elemen-elemen yang ditekankan oleh Kerajaan Persekutuan sendiri di dalam 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara ataupun NKRA. Justeru kita di KETENGAH mempunyai peranan dan tanggungjawab kita sendiri untuk membantu menjayakan apa yang dirancang oleh Kerajaan dan juga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Saya yakin dengan penetapan KPI Lembaga dan juga bahagian-bahagian, maka satu usaha yang tersusun dan bersepadu akan dapat kita semua laksanakan demi mencapai matlamat untuk menjayakan pembangunan seimbang di seluruh wilayah KETENGAH.

Dari segi pengurusan pula, pengenalan sistem Generic Office Environment (GOE) - Electronic Government Document Management System yang kita amalkan pada tahun ini akan dapat membantu KETENGAH menguruskan pelaksanaan dan pemantauan tugas dengan lebih licin, lancar dan berkesan di samping mengelakkan karenah birokrasi yang boleh mengganggu pelaksanaan.

Apa yang paling penting dan menjadi cabaran kepada kita semua ialah untuk mewujudkan pegawai dan kakitangan kelas pertama iaitu kakitangan yang berpengetahuan, berdisiplin, jujur dan ikhlas, komited terhadap tugas, mempunyai perasaan cinta yang tinggi serta kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada KETENGAH serta sanggup berkorban apa sahaja demi mempastikan segala matlamat dapat dicapai dengan sempurna.

Justeru itu sempena menyambut tahun baru 2010, saya menyeru seluruh pegawai dan kakitangan sekalian agar merapatkan barisan, bergerak selangkah seirama, menggembleng tenaga dan pemikiran serta bekerja dengan penuh kesedaran dan integriti demi meningkatkan pencapaian KETENGAH ke tahap yang cemerlang bagi menjamin nasib masyarakat luar bandar terus terbela.

Akhirnya, saya berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar memberikan kita semua iltizam, kebijaksanaan, kekuatan dan keikhlasan bagi melaksanakan tugas-tugas kita dengan penuh amanah dan setia demi agama, bangsa dan negara.

Selamat Tahun Baru.
    

 

HAMZAH BIN NGAH
Pengurus Besar
LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

 

CARIAN
perkhidmatan kami


Kalendar
<< < Mac, 2010 > >>
I S R K J S A
1 2 3 4 5 6 7
8 9 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31 1 2 3 4
 msc malaysia   institut integriti malaysia