Perutusan Pengurus Besar KETENGAH

Sumbangan dihulur, kurangkan beban.
01/01/2019
KURSUS PEMANDUAN BERHEMAH
09/01/2019

Perutusan Pengurus Besar KETENGAH

Assalamu’alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku,

Pertamanya saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT yang telah mengurniakan taufik dan inayah-Nya serta memanjangkan usia kita bagi menempuhi perjalanan hidup pada tahun baharu 2019. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa perutusan kepada kita yang menjadi pegangan hidup dan pedoman hingga akhirat kelak.

Tumpuan KETENGAH bagi tahun 2019 adalah projek-projek yang dapat membawa manfaat secara langsung kepada rakyat dalam usaha untuk memperbaiki kehidupan. Apa yang penting ialah kita meningkatkan kecekapan kita dalam pelbagai bidang demi memastikan segala perancangan kita berjalan dengan lancar.

Apa yang kita rancang ini adalah selari dengan pelaksanaan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dirangka oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi pembangunan jangka pendek dan sederhana ke arah luar bandar lebih sejahtera. Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar ini mengandungi enam teras utama iaitu :-

• Prasarana
• Ekonomi
• Keusahawanan
• Modal Insan
• Wanita
• Sistem Penyampaian

Pelan berkenaan menjadi sebahagian daripada pelan strategik dan hala tuju kementerian dan agensi untuk tempoh lima tahun akan datang. Secara keseluruhannya terdapat 29 strategi dan 94 program yang akan dilaksanakan di bawah enam teras pelan pembangunan berkenaan.

Agenda mensejahtera luar bandar ini akan mendatangkan kesan limpahan ekonomi, merancakkan lagi kegiatan perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan seluruh kumpulan sasar untuk dinikmati manfaatnya.

Akhirnya, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga KETENGAH di atas segala sokongan, bantuan dan sumbangan dalam menjayakan segala tugas dan tanggungjawab KETENGAH sepanjang tahun 2018. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang sebaik-baiknya kepada kita semua dan memberikan kita kekuatan untuk meneruskan tugas kita pada tahun ini dengan lebih cemerlang.

Marilah kita jadikan tahun 2019 sebagai satu tahun yang penuh kecemerlangan dan kegemilangan bagi KETENGAH di mana segala hasrat kita tercapai dan terlaksana.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2019.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *