Hutan Lipur Chemerong terletak di Hutan Simpanan Pasir Raja dalam Daerah Dungun. Ia merangkumi kawasan seluas 292 hektar dan terletak kira-kira 30km dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan 100km dari Bandar Kuala Terengganu.

Kawasan Hutan Lipur ini mula dimajukan pada tahun 1993. Hutan Lipur ini mampu menarik para pengunjung dari dalam dan luar negeri kerana terdapat beberapa keistimewaan yang terdapat di sini seperti kawasan hutan yang masih dara dengan tumbuh-tumbuhan semulajadi. Sungai yang bersih dengan jeram dan air terjun yang cantik dan kolam-kolam semulajadi yang sangat sesuai untuk bermandi-manda serta berenang samada secara bersendirian, berkeluarga ataupun berkumpulan.

Di antara aktiviti-aktiviti lain yang dapat dilakukan oleh para pengunjung ke hutan lipur ini ialah berkhemah, merentas denai, mendaki gunung dan bersiar-siar.

Air Terjun Hutan

Lipur Chemerong menawarkan kepada para pengunjung ari terjun setinggi 305 meter dan merupakan salah satu yang tertinggi di negara ini. Di sini juga terdapat banyak kawasan yang mempunyai air yang dingin dan jernih yang sesuai untuk mandi-manda atau bermain-main air. Kecantikan semulajadi kawasan persekitaran turut menambahkan kepada suasana yang nyaman dan menyegarkan.

Berkelah

Terdapat banyak kawasan berkelah yang luas dan selesa di dalam kawasan Hutan Lipur ini untuk tujuan berehat. Wakaf-wakaf serta bangku dan meja rehat diletak di beberapa lokasi perkelahan untuk kemudahan para pengunjung yang datang.

Berkhemah

Para pengunjung juga boleh berkhemah di sini. Terdapat beberapa kawasan perkhemahan yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti pondok-pondok memasak dan tandas awam.

Denai Hutan

Kepada para pengunjung yang gemarkan cabaran, mereka boleh merentas denai hutan di dalam hutan asli yang luas dan cantik. Mereka akan kagum dengan kecantikan alam semulajadi yang terdapat di sini.

Bersiar-siar

Untuk rekreasi yang sederhana, lorong-lorong pejalan kaki dan juga tangga-tangga konkrit disediakan untuk kemudahan para pengunjung bersiar-siar di kawasan hutan lipur ini sambil menikmati udara nyaman.

Mendaki Gunung

Bagi mereka yang gemar aktiviti lasak mendaki gunung. Terdapat satu denai untuk mendaki di sini. Gunung Berembun yang berdiri megah di Banjaran Titiwangsa sedia menerima cabaran untuk anda daki. Anda akan rasa cukup tercabar dengan halangan-halangan semulajadi seperti laluan curam, meniti di atas akar kayu dan lorong-lorong yang sempit. Kepuasan yang dapat dirasakan apabila berada di puncak Gunung yang menyajikan pemandangan yang cukup menarik.

Cemerung