Malang menimpa keluarga Encik Luqman Hakim bin Alias yang merupakan salah seorang kakitangan KETENGAH dan bertugas di Pejabat Perbandaran Seri Bandi, apabila rumah yang disewa bersama 4 ahli keluarga hangus dijilat api awal pagi tadi. Beliau menerima panggilan telefon daripada jiran pada jam 8.56 pagi dan bergegas pulang, namun api merebak dengan marak memusnahkan keseluruhan rumahnya. Menurutnya, beliau tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk motosikal, kereta dan hanya mampu melihat dari jauh api menjulang tinggi memusnahkan kediamannya.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Al Muktafi Billah Shah, punca kebakaran dipercayai berpunca dari litar pintas. Jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan pihak BOMBA.
YBrs. Encik Zainuddin bin Haji Md. Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH hadir bertanya khabar dan menyerahkan sumbangan kilat yang disumbangkan oleh pegawai dan kakitangan KETENGAH.
Hadir sama Encik Hasri bin Omar, Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia. Difahamkan KETENGAH telah menyediakan penginapan sementara buat keluarga Encik Luqman.
Kami warga KETENGAH berdoa agar segala urusan dipermudahkan dan berharap agar beliau tabah dalam menghadapi ujian dari Ilahi.