Masjid Engku Haji Mahmud dan Rumah Jambi Warisan Tinggalan Masyarakat Jambi Di Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu.
Kampung Pasir Gajah terletak kira-kira 17km dari Bandar Cukai, Kemaman. Kampung ini mula diterokai pada tahun 1939 oleh seorang tokoh agama yang berasal dari Jambi, Sumatera iaitu Engku Haji Mahmud bersama sepuluh (10) orang pengikutnya. Justeru itu, masih terdapat seni bina rumah kediaman di persekitaran kampung ini yang dipengaruhi oleh unsur-unsur warisan masyarakat Jambi kesan daripada penghijrahan mereka ke sini.
Di samping itu, satu lagi binaan yang berharga dan menjadi tarikan pengkaji sejarah di kampung ini ialah Masjid Engku Haji Mahmud atau dikenali juga sebagai Masjid Jambi. Masjid ini didirikan pada tahun 1939 iaitu tidak berapa lama selepas kampung ini mula-mula dibuka. Pembinaannya dilakukan secara bergotong-royong oleh Engku Haji Mahmud dan pengikut-pengikutnya. Ruang sembahyang di masjid ini mampu menampung kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa. Pada masa itu, selain menjadi tempat sembahyang secara berjemaah, masjid ini berfungsi sebagai tempat mengajar al-Quran, fardhu ain dan fardhu kifayah.
Masjid ini terletak di pinggir sungai yang menjadi laluan utama penduduk ketika itu dianggap antara masjid yang terunik di negeri Terengganu kerana dihiasi dengan ukiran berunsurkan identiti masyarakat Jambi. Ketika dibaikpulih beberapa tahun lalu, bahan-bahan asal sebahagiannya masih lagi dibekalkan tanpa mengubah strukturnya seperti ukiran-ukiran yang terdapat di tiang-tiang, dinding dan bumbung masjid. Sepasang tanduk kerbau yang asli dan menjadi lambing warisan turun-temurun masyarakat Jambi masih teguh terpelihara di mercu menara dan kubah masjid ini . Sewajarnya kewujudan masjid bersejarah di kampung ini terus dipelihara sebagai keilmuan dan rujukan kepada generasi akan datang. Ini kerana sejarah sendiri mendidik bangsa supaya menghargai apa juga warisan khazanah yang sudah menjadi miliknya. Seandainya warisan bersejarah ini tidak dijaga dengan sempurna, ia mungkin akan hilang ditelan zaman dan dilupakan begitu sahaja oleh generasi pewaris dan masyarakat tempatan. Bersebelahan masjid, tersergam indah Rumah Jambi dengan dengan keunikan senibina masyarakat jambi.