PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2020 OLEH PENGURUS BESAR KETENGAH TENGKU AHMAD NADZRI TENGKU MUSA

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillahi rabbil a’lamin wa bihi nasta’in. Selawat dan salam ke atas Muhammad, Rasul junjungan, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Aidilfitri dan Salam Luar Bandar Sejahtera.

Allahu Akbar,

Allahu Akbar,

Allahu Akbar,

Walillah hil hamd.


Dimulai dengan kalam takbir sebagai menandakan tibanya detik kemenangan meraikan Hari Lebaran bulan kemuliaan dan kemenangan yang ditunggu-tunggu setelah sebulan menjalani ibadah berpuasa.

Setelah sebulan kita berpuasa, kita sebenarnya telah berjihad dalam mengekang hawa nafsu sambil menyemai perasaan belas kasihan kepada golongan yang susah dan serba kekurangan di kala dunia sedang dilanda pandemik Covid-19.Sejak dua bulan yang lalu, (bermula 18 Mac) Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada tahun ini ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak disambut seperti lazim. Tiada perhimpunan besar dibenarkan dalam situasi semasa penularan wabak Covid-19. Dengan trend kes dunia semasa, wabak ini mungkin tidak akan berakhir dalam jangka masa yang terdekat. 

Dalam tempoh ini, bekerja dari rumah dan duduk di rumah merupakan pengorbanan besar bagi kita sebagai para pekerja dalam membantu Kerajaan menangani penularan Covid-19. Walaupun tiada sambutan Hari Pekerja 2020 peringkat kebangsaan baru-baru ini, sumbangan dan pengorbanan kita selaku para pekerja sektor awam selama ini amat dihargai oleh pihak Kerajaan.

Pada kesempatan ini, ingin saya nyata dan ingatkan Ketengah akan terus beristiqamah dalam membela serta memperjuangkan nasib golongan kurang berkemampuan di dalam wilayah dengan sedaya mungkin.

Kita sedang melalui satu tempoh yang menguji kesabaran dan daya ketahanan kita.Namun, pengorbanan yang kita lakukan ini telah membuahkan hasil iaitu kita dan keluarga terselamat daripada jangkitan Covid-19, kita menyelamatkan orang lain daripada terkena jangkitan dan juga kita semua menyumbang kepada usaha membendung penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat. Kita bersyukur kerana negara kita merupakan antara negara yang mencatatkan kadar kesembuhan yang tertinggi di dunia. Alhamdulillah.

Walaupun hari ini kes-kes baharu wabak kini kian berkurang dan menunjukkan perkembangan yang positif, langkah-langkah yang kita amalkan hendaklah diteruskan sehingga kita akan diberikan kemenangan, kesihatan dan keselamatan daripada wabak penyakit ini. Saya juga hendak menasihatkan semua warga Ketengah supaya memakai penutup hidung dan mulut dan sentiasa membawa hand sanitizer untuk digunakan jika perlu. Selain itu, semua warga harus pastikan meja, kerusi dan peralatan yang digunakan di pejabat sentiasa bersih. Elakkan body contactdengan rakan sekerja yang lain.

Semua kakitangan sektor awam perlu mengambil langkah proaktif dan efektif bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam adalah terbaik kepada rakyat dengan mengutamakan aspek keselamatan serta kebajikan awam mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. SOP itu antaranya memastikan keberadaan di pejabat kepada pegawai dan kakitangan kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat, sistem penggiliran pekerja dan bekerja dari rumah masih diteruskan selain melaksanakan waktu anjal terutama mereka yang mempunyai kesulitan bagi penjagaan anak di rumah, mesyuarat digalakkan diadakan secara maya melalui medium yang selamat dan terjamin dari segi kerahsiaan.Seboleh-bolehnya, jadikan amalan bekerja dari rumah sebagai amalan norma baharu.

Pada masa sama, penggunaan aplikasi dalam talian perlu terus digalakkan bagi meminimumkan kehadiran pelanggan ke kaunter selari dengan amalan penjarakan sosial.Elemen protokol kesihatan dan keselamatan di pejabat sebegini perlu dipatuhi sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Dalam memerangi Covid-19, contact tracingadalah sangat penting. Bagi memudahkan contact tracingkerajaan telah mewujudkan applikasi MySejahtera dan MyTrace. Saya harap semua warga yang mempunyai telefon pintar muat turun aplikasi ini untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu. Ini adalah tanggungjawab kita semua.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga Ketengah khususnya kepada para petugas keselamatan, kebersihan dan juga kaunter yang terus menjalankan tugasan hakiki sepanjang tempoh PKP bagi memastikan pengoperasian Ketengah tidak tergendala dan terhenti.

Di hari baik, bulan baik ini, saya ingin menyeru agar jangan kita alpa. Teruslah berwaspada. Amalkan tabiat penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakaiface mask di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala. Sambutlah perayaan pada tahun ini dengan mengamalkan amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul dan tidak bersalaman di hari lebaran pada tahun ini.

Akhir kalam, saya dan seisi keluarga, dengan penuh tawadhuk di hati menyusun sepuluh jari memohon ampun serta kemaafan atas sebarang kekhilafan, zahir mahupun batin kepada seluruh warga Ketengah.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

(TENGKU AHMAD NADZRI TENGKU MUSA)

KETENGAH Serah Zakat RM721,815.15 Kepada MAIDAM
PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2020 OLEH PENGERUSI KETENGAH YB SENATOR DATUK RAZALI IDRIS

Artikel Lain