Perutusan Pengurus Besar Tahun 2020

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikumwarahmatullaahiwabarakaatuh dan Salam Luar Bandar Sejahtera

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan taufik dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat manusia hingga akhir zaman.
Tahun 2019 telah pergi melabuhkan tirainya dengan pelbagai catatan kejayaan dan pencapaian kepada kita semua dalam suasana dunia yang berubah dengan begitu pantas. Kini muncul tahun 2020 yang mana seperti biasa kita akan memperbaharui semangat dan keazaman supaya tahun baru ini menjadi lebih bermakna dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi sama ada membuat perubahan pada diri sendiri atau pun organisasi.

Saya mengucapkan syukur kerana kita bukan sahaja dapat mengharungi dan mengatasi pelbagai cabaran sepanjang tahun 2019, namun kita telah berjaya menunjukkan pencapaian perkhidmatan awam yang membanggakan. Semua ini adalah hasil daripada komitmen dan usaha semua warga dalam menjalankan amanah. Pelaksanaan pelbagai projek dan program kepada kumpulan sasar telah pun sedikit sebanyak dipermudahkan dengan adanya suasana aman di kalangan warga KETENGAH.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga yang telah memberikan kerjasama yang baik kepada saya dalam menerajui KETENGAH sehingga dapat menjayakan pelbagai program dan pembangunan di seluruh wilayah.

Dalam aspek pencapaian perbelanjaan bagi peruntukan tahun 2019, kita telah berjaya mencapai peratusan sebanyak 97% Walaupun ini menunjukkan satu pencapaian yang cukup baik, namun kita tidak boleh berlapang dada malah kita harus meningkatkan sasaran perbelanjaan di tahap sepatutnya iaitu 100% pada tahun 2020 bagi membuktikan kita merupakan agensi peneraju pembangunan kepada masyarakat luar bandar di wilayah KETENGAH.

Bagi tahun 2020, KETENGAH telah diluluskan peruntukan berjumlah RM75,189,600.00 iaitu dengan pecahan sebanyak RM42,666,000.00 untuk Belanja Pembangunan dan RM32,523,600.00 untuk Belanja Mengurus. Peruntukan yang diterima ini meningkat sebanyak RM5,436,300.00 berbanding tahun 2019. Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab kepada kita iaitu untuk memastikan peruntukan ini dapat kita belanjakan dengan sempurna dalam tahun semasa dengan sebaiknya.

Kita perlu mencari pendekatan yang kreatif dan inovatif dalam setiap pelaksanaan program-program yang dilaksanakan. Ini juga adalah selari dengan matlamat Kerajaan bagi setiap program yang dirangka untuk dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan ketirisan berlaku.
Dalam melengkapkan lagi program pembangunan luar bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sendiri telah merangka pelan yang lebih terarah. Ini dapat dilihat melalui Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang menggunapakai visi “Luar Bandar Sejahtera” sebagaimana yang telah dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 27 Jun 2019. DPLB merupakan pendekatan tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama, status sosial, gender dan umur.

Dasar ini merupakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan prinsip kemampanan, inklusif dan holistik yang setiap satunya merangkumi asas kelangsungan kesejahteraan hidup, keseimbangan dan pelbagai dimensi. Prinsip-prinsip ini sangat penting bagi merangka kesinambungan pembangunan masyarakat luar bandar sejahtera, inklusif dan mampan, selain menjadikan luar bandar menarik dan kondusif sebagai tempat tinggal, bekerja dan pelaburan.DPLB menggariskan 10 teras, 33 pernyataan dasar dan 88 strategi yang akan dilaksanakan hingga 2030.

10 teras tersebut ialah:-
⮚ ekonomi berdaya saing dan mapan
⮚ keusahawanan pemacu pembangunan ekonomi
⮚ modal insan berkualiti
⮚ prasarana lengkap dan canggih
⮚ keunggulan generasi belia luar bandar
⮚ wanita luar bandar yang progresif
⮚ kehidupan luar bandar yang sejahtera
⮚ sistem penyampaian dan tadbir urus berkesan
⮚ biodiversiti dan alam sekitar mapan
⮚ perumahan, pembangunan wilayah dan penempatan desa bersepadu.

Bagi tahun 2020 sebanyak 21 program telah kita kenal pasti untuk dilaksanakan sepanjang tahun. Justeru kita akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan semua projek berjalan mengikut jadual agar rakyat dapat menikmati faedahnya dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Kita juga akan meneruskan pembangunan di Tasik Kenyir dalam usaha untuk menjadikannya sebuah destinasi pelancongan terunggul kepada pengunjung dan pelancong. Saya yakin tahun 2020 yang merupakan Tahun Melawat Malaysia 2020 akan menjadikan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu salah satu lokasi untuk wajib dikunjungi para pelancong dalam dan luar negara.

Pada tahun 2020, KETENGAH akan cuba menyelesaikan isu-isu semasa yang berlaku dalam Wilayah KETENGAH dan akan memantapkan lagi sistem penyampaian.
Untuk menjayakan hasrat ini, setiap pegawai dan kakitangan harus berpegang bahawa kerja adalah satu ibadah. Semangat kerjasama dan saling lengkap-melengkapi perlu disemai dan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Marilah sama-sama kita kikis sikap silo yang ada dalam diri kita kerana alone we can do so little, together we can do more. Sentiasalah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan mengharapkan keredhaan Allah Taala.

Saya yakin sekiranya semua warga dapat menghayati nilai-nilai yang positif dalam bekerja seharian, maka KETENGAH mempunyai masa hadapan yang cemerlang dalam menjayakan setiap tugas yang diamanahkan kepada kita demi membela nasib masyarakat luar bandar. Saya amat berharap seluruh warga KETENGAH dapat melaksanakan amanah dan memastikan perancangan serta pelaksanaan semua program pembangunan fizikal dan non-fizikal dilaksanakan dengan penuh integriti, cekap dan terbaik demi memastikan setiap projek tidak terlewat jadual.

Saya berdoa semoga Allah SWT memberikan kita semua kebijaksanaan dan kekuatan untuk melaksanakan segala amanah yang dipikulkan di atas bahu KETENGAH demi masyarakat luar bandar. Semoga segala perancangan yang telah direncan akan dapat direalisasikan dengan jayanya dan dilindungi daripada sebarang keburukan. Akhir kata, saya menyeru agar seluruh warga KETENGAH mengutamakan kumpulan sasar di dalam setiap perancangan dan seterusnya memberikan sepenuh sokongan kepada saya selaku Pengurus Besar dalam memimpin organisasi ini.

Sekian, terima kasih.

Selamat Tahun Baru 2020 Masihi

YM TENGKU AHMAD NADZRI BIN TENGKU MUSA
PENGURUS BESAR
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
1 JAN 2020

#bersamamembangun

Gohek D’AMBS
Perutusan Pengerusi KETENGAH 2020

Artikel Lain