Program Berkhatan dan Bertindik

Musim cuti sekolah telah bermula, sehubungan itu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah mengadakan Program Berkhatan dan Bertindik Wilayah KETENGAH Tahun 2019 bertempat di Bandar Seri Bandi, Kemaman pada 23 November 2019. Program yang diadakan saban tahun ini menghimpunkan seramai 100 orang kanak-kanak bagi program berkhatan dan 36 orang kanak-kanak untuk bertindik. Sudah menjadi tradisi masyarakat melayu kanak-kanak yang menyertai acara berkhatan dan bertindik diarak oleh keluarga masing-masing menuju ke tempat berkhatan. Perarakan bermula dari Sekolah Menengah Seri Bandi ke Dewan Orang Ramai di mana YBhg. Dato’ Seri Wan Marzuki bin Haji Wan Sembok, Timbalan Pengerusi KETENGAH turut sama-sama berarak bersama dif-dif jemputan yang lain.

Selesai sahaja majlis perasmian, peserta dimandikan dengan semburan air daripada jentera Balai Bomba dan Penyelamat Kijal, Kemaman. Walaupun basah kuyup dan kesejukan, namun saat dan suasana itu disambut dengan penuh keriangan oleh mereka yang begitu seronok dapat bermain air dengan rakan yang bakal menempuh pengalaman bersama-sama dan akan memasuki alam remaja.

Program yang dianjurkan secara percuma oleh KETENGAH ini merupakan salah satu bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dalam mensejahterakan masyarakat luar bandar. Ini selaras dengan moto Kementerian Pembangunan Luar Bandar di bawah menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun iaitu “Luar Bandar Sejahtera”. Dengan program sebegini KETENGAH berharap hubungan mesra yang terjalin di kalangan masyarakat selama ini akan terus diperkukuh dan keakraban ini akan menjurus ke arah masyarakat yang harmoni.

Program Penghayatan Maulidur Rasul
placeholder
Kerja Kerja Penyelenggaraan Jalan Perhubungan Wilayah Ketengah

Artikel Lain