Isi Rumah (IR) terdiri daripada orang yang bersaudara dan/atau tidak bersaudara yang biasa tinggal bersama dan membuat peruntukan bersama untuk makanan dan keperluan hidup lain.
Contoh 1:
3 orang lelaki tinggal di satu unit perumahan yang sama, berkongsi satu dapur tetapi mempunyai peraturan makanan yang berlainan (peruntukan makanan berlainan) akan dianggap 3 IR.
Contoh 2:
1 keluarga iaitu terdiri daripada emak, ayah dan anak.
Respondan (R) adalah antara AIR yang biasa tinggal di Tempat Kediaman (TK) ini dan dirujuk sebagai ketua oleh Ahli Isi Rumah (AIR) yang lain.
Ketua Keluarga (KK) adalah seseorang yang mempunyai tanggungan isteri/suami dan/atau anak.
Ahli biasa merujuk kepada AIR yang telah atau akan tinggal bersama AIR yang lain bagi tempoh 6 bulan atau lebih dalam tahun 2020, walaupun tiada di TK ini semasa pembancian dijalankan.
Tempat Kediaman (TK) adalah struktur yang berasingan dan bebas serta dibina untuk tujuan kediaman tetap atau sementara iaitu:
Berasingan – struktur dianggap berasingan jika ia dikelilingi atau dipisahkan oleh dinding, pagar dan sebagainya dan ditutupi oleh bumbung.
Bebas – struktur dikatakan bebas jika mempunyai jalan keluar masuk secara terus sama ada dari tangga umum, tempat lalu lintas atau ruang lapang, tanpa perlu melalui perkarangan atau ruang kediaman orang lain.
Bilik ditakrifkan sebagai ruang di dalam tempat kediaman yang memenuhi ciri-ciri berikut:
Dilingkungi oleh dinding dari lantai hingga ke siling atau bumbung;
Ketinggian sekurang-kurangnya 2 meter; dan
Ruang cukup luas untuk menempatkan sekurang-kurangnya sebuah katil bersaiz orang dewasa iaitu berkeluasan tidak kurang daripada 4 meter persegi.
Bilik tidur ditakrifkan sebagai ruang untuk tidur yang memenuhi ciri-ciri berikut:
Dilingkungi oleh dinding atau pembahagian yang kekal/ separa kekal.
Berbeza saiz asalkan bertujuan untuk tidur.
Dinding/ pembahagi tidak semestinya sampai kepada bumbung/ siling.
Dinding/ pembahagi mesti cukup tinggi untuk memberi ruang kepada pengasingan (privacy).
Siapa yang perlu dibanci?
Bayi yang lahir pada atau sebelum hari banci dan masih hidup pada hari banci
Orang yang meninggal dunia pada atau selepas hari banci
Penyewa, penumpang, pelawat, pembantu rumah, orang tua, saudara mara yang biasa tinggal bersama Isi Rumah
Pelajar (sekolah rendah dan menengah) yang tinggal di asrama (di KETENGAH) dalam tahun semasa
Ahli biasa yang tiada di TK untuk tempoh kurang dari enam bulan kerana bekerja, berkursus, bercuti, melancong (dalam atau luar negara), mengunjungi tempat ibadat dll
Sesiapa yang berada/akan berada di hospital kurang dari enam bulan dalam tahun banci
Siapa yang tidak perlu dibanci?
Bayi yang lahir selepas hari banci
Orang yang meninggal dunia sebelum hari banci
Penuntut Malaysia yang telah berada di luar negara bagi tempoh lebih enam bulan dalam tahun semasa
Penuntut (kolej/universiti) yang tidak tinggal bersama ibu bapa bagi tempoh lebih enam bulan dalam tahun semasa
Warga KETENGAH yang bekerja di luar KETENGAH lebih dari enam bulan dalam tahun banci
SIapa yang tinggal di TK berasingan dan kembali ke TK ini pada hujung minggu/hari cuti sahaja