KETENGAH CHAIRMAN REVIEWS DEVELOPMENT PROJECTS IN AL MUKTAFI BILLAH SHAH (AMBS) AND BUKIT BESI

YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH, telah mengadakan
lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan bertujuan menilai secara
langsung tahap kemajuan pelaksanaan projek, mengenal pasti punca
kelewatan serta memastikan projek berimpak tinggi dapat disiapkan
mengikut jadual demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat setempat di
sekitar Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi, hari
ini.
Program dimulakan dengan sesi santai mengeteh bersama-sama
pimpinan masyarakat Bandar AMBS. Dalam suasana mesra dan terbuka,
Pengerusi KETENGAH mendengar pandangan, aduan serta permasalahan yang
dibangkitkan berkaitan isu pembangunan dan kesan kelewatan projek
terhadap kehidupan harian penduduk. Sesi ini turut menjadi platform
penting kepada pihak pengurusan KETENGAH untuk memahami realiti dan
cabaran di peringkat akar umbi, selain mendapatkan maklum balas
berhubung keperluan dan harapan penduduk setempat.
Seterusnya,
beliau dibawa melawat ke Projek Pemajuan Kawasan (PPK) AMBS bagi
meninjau keadaan semasa tapak projek dan tahap kemajuan kerja. Pihak
pelaksana turut memberi penjelasan berhubung isu teknikal, kekangan
pelaksanaan serta perancangan pemulihan projek yang dicadangkan.
Lawatan
diteruskan ke Projek Kumbahan Fasa III di Bandar Bukit Besi, iaitu
projek infrastruktur bagi meningkatkan sistem sanitasi, kebersihan
persekitaran dan kualiti hidup penduduk.
Dalam sesi perbincangan
bersama-sama kontraktor, Pengerusi KETENGAH menegaskan bahawa
projek-projek ini merupakan projek berimpak tinggi yang dirancang untuk
menyelesaikan masalah rakyat dan menyokong pembangunan sosioekonomi
wilayah KETENGAH. Beliau meminta tindakan segera diambil bagi
menyelesaikan isu kelewatan, dan tidak menolak kemungkinan penamatan
projek sekiranya prestasi tidak bertambah baik. Pihak kontraktor telah
memberi jaminan untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dikenal
pasti serta komited mematuhi jadual pemulihan yang telah ditetapkan.
Turut
hadir ialah YBrs. Encik Zainuddin bin Haji Md. Zaki, Timbalan Pengurus
Besar (Pembangunan) KETENGAH dan Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad,
Pengurus Kanan (Korporat) KETENGAH, bersama-sama pegawai-pegawai kanan
yang terlibat dalam pemantauan dan penyelarasan projek.
Lawatan
ini mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan tertinggi KETENGAH
dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara
berkesan, telus dan memberi manfaat kepada rakyat.





