logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

PENGERUSI KETENGAH TINJAU PROJEK PEMBANGUNAN DI AL MUKTAFI BILLAH SHAH (AMBS) DAN BUKIT BESI

YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH, telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan bertujuan menilai secara langsung tahap kemajuan pelaksanaan projek, mengenal pasti punca kelewatan serta memastikan projek berimpak tinggi dapat disiapkan mengikut jadual demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat setempat di sekitar Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi, hari ini.

Program dimulakan dengan sesi santai mengeteh bersama-sama pimpinan masyarakat Bandar AMBS. Dalam suasana mesra dan terbuka, Pengerusi KETENGAH mendengar pandangan, aduan serta permasalahan yang dibangkitkan berkaitan isu pembangunan dan kesan kelewatan projek terhadap kehidupan harian penduduk. Sesi ini turut menjadi platform penting kepada pihak pengurusan KETENGAH untuk memahami realiti dan cabaran di peringkat akar umbi, selain mendapatkan maklum balas berhubung keperluan dan harapan penduduk setempat.

Seterusnya, beliau dibawa melawat ke Projek Pemajuan Kawasan (PPK) AMBS bagi meninjau keadaan semasa tapak projek dan tahap kemajuan kerja. Pihak pelaksana turut memberi penjelasan berhubung isu teknikal, kekangan pelaksanaan serta perancangan pemulihan projek yang dicadangkan.

Lawatan diteruskan ke Projek Kumbahan Fasa III di Bandar Bukit Besi, iaitu projek infrastruktur bagi meningkatkan sistem sanitasi, kebersihan persekitaran dan kualiti hidup penduduk.

Dalam sesi perbincangan bersama-sama kontraktor, Pengerusi KETENGAH menegaskan bahawa projek-projek ini merupakan projek berimpak tinggi yang dirancang untuk menyelesaikan masalah rakyat dan menyokong pembangunan sosioekonomi wilayah KETENGAH. Beliau meminta tindakan segera diambil bagi menyelesaikan isu kelewatan, dan tidak menolak kemungkinan penamatan projek sekiranya prestasi tidak bertambah baik. Pihak kontraktor telah memberi jaminan untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dikenal pasti serta komited mematuhi jadual pemulihan yang telah ditetapkan.

Turut hadir ialah YBrs. Encik Zainuddin bin Haji Md. Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH dan Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Pengurus Kanan (Korporat) KETENGAH, bersama-sama pegawai-pegawai kanan yang terlibat dalam pemantauan dan penyelarasan projek.

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan tertinggi KETENGAH dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara berkesan, telus dan memberi manfaat kepada rakyat.