logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

MAJLIS KONVOKESYEN KOLEJ KETENGAH KALI KE-4

“Hari ini juga adalah permulaan baharu-permulaan penuh harapan dan cita-cita. Langkah anda seterusnya akan menentukan sumbangan anda kepada watan dan masyarakat“ – YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.

Seramai 265 graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah menerima Diploma masing-masing semasa Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-4 bertempat di World Trade Centre, Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

YAB Dato’ Seri berkata “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 265 graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak atas kejayaan anda menamatkan pengajian. Anda telah menempuhi pelbagai cabaran sebagai pelajar di Kolej Ketengah, dan hari ini adalah hari untuk meraikan kejayaan tersebut.” Beliau menambah “Saya juga menghargai usaha Kolej Ketengah yang menawarkan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) serta Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET). TVET bukan sahaja membuka peluang kerjaya, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. Ia juga berperanan besar dalam merealisasikan hasrat negara menuju status negara berpendapatan tinggi. Kerajaan komited memperkasa TVET untuk memenuhi keperluan industri dan teknologi yang terus berkembang.”

Kolej Ketengah sentiasa berusaha untuk memperbaiki program pengajian agar relevan dengan perkembangan industri. Program baru seperti Diploma Teaching English as a Second Language dan Diploma Pemasaran akan ditawarkan dalam memperkasakan pasaran kerja masa kini. Kolej ini juga menjalin kerjasama dengan beberapa universiti awam dan swasta bagi membolehkan para pelajar memperolehi pendedahan kepada pendekatan pengajaran yang pelbagai dan perspektif yang lebih luas.

Selain itu, Kolej Ketengah komited untuk memperkukuhkan hubungan dengan industri bagi menyediakan peluang latihan industri yang memberi pengalaman praktikal kepada pelajar. Program TVET ditawarkan bagi meningkatkan kemahiran teknikal pelajar agar lebih kompetitif di pasaran kerja. Kerjasama dengan syarikat seperti Eastern Steel Sdn. Bhd. dan Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan latihan sebenar.

KETENGAH juga ingin mengucapkan tahniah kepada Tengku Nur Izzan Khairani binti Dato’ Tengku Ahmad Nadzri, Graduan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang merupakan anak kepada Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa.
Tahniah kepada semua graduan dan semoga kejayaan ini menjadi batu loncatan untuk pencapaian lebih gemilang.