KETENGAH Anjur Program Muhibbah Korban Bersama Komuniti Hulu Terengganu

AJIL, 28 Mei 2026– Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) terus memperkukuhkan hubungan ukhuwah bersama masyarakat menerusi penganjuran Program Muhibbah Korban Bersama Komuniti KETENGAH (Hulu Terengganu) yang berlangsung di Padang Komuniti Kampung Tok Dor sempena sambutan Aidiladha 1447H.
Program berteraskan semangat kebersamaan dan penghayatan syiar Islam itu melibatkan penyertaan pegawai, kakitangan KETENGAH serta komuniti setempat dengan sebanyak tujuh (7) ekor lembu dikorbankan.
Daripada jumlah tersebut, satu (1) ekor lembu diperuntukkan khusus bagi agihan kepada kira-kira 300 penerima dalam kalangan asnaf sekitar Wilayah KETENGAH, Hulu Terengganu.
Program yang berlangsung bermula jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengah hari itu memperlihatkan semangat gotong-royong yang tinggi apabila para peserta bersama-sama melaksanakan urusan sembelihan, melapah, menimbang serta mengagihkan daging korban kepada penerima yang layak.
Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa turut hadir bagi menyantuni peserta dan petugas sekali gus menyemarakkan lagi semangat muhibbah sepanjang program berlangsung.
Turut hadir ialah YM Tengku Mahari bin Tengku Chik, Ahli Jemaah Lembaga KETENGAH bersama barisan pengurusan, pegawai dan kakitangan KETENGAH.
Program tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada JPKKP Hulu Terengganu serta JPKKP Kampung Tok Dor selaku tuan rumah dalam memastikan kelancaran perjalanan program.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan KETENGAH dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui kebajikan masyarakat, di samping memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Selain menyempurnakan ibadah korban, program berkenaan turut menjadi platform dalam memupuk nilai perpaduan, kerjasama dan semangat kebersamaan ke arah pembentukan masyarakat madani yang harmoni dan prihatin.





