Kursus Transformasi Minda KETENGAH dan Induksi Khas Tahun 2026 Kepada Pegawai dan Kakitangan KETENGAH Lantikan Baharu 18 hingga 22 Mei 2026.

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah melaksanakan Kursus Transformasi Minda KETENGAH dan Induksi Khas Tahun 2026 bertempat di Kem Permata Resort, Melaka yang melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan KETENGAH lantikan baharu sebagai usaha memperkukuhkan pembangunan modal insan serta membentuk warga kerja yang lebih berintegriti, berdisiplin dan berdaya saing.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap dasar, fungsi dan hala tuju organisasi di samping menerapkan nilai-nilai kerja berpasukan, jati diri yang kuat, semangat kekitaan serta budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga KETENGAH.
Antara pengisian program yang turut diselitkan ialah Program Bersama NGO’S KETENGAH yang bertujuan memperkenalkan barisan NGO’S KETENGAH kepada pegawai dan kakitangan baharu di samping memberi pendedahan berkaitan peranan, fungsi serta tujuan penubuhan NGO’S KETENGAH dalam menyokong kebajikan, pembangunan sahsiah dan semangat kebersamaan warga organisasi. Selian itu, slot bersama pihak JPA, SPRM, AKM, KPWKM, CGSO, AKPK dan banyak lagi turut dilaksanakan.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Turut hadir ialah Yang Berusaha Puan Norita binti Jantan @ Janudin, Pengurus Besar Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (INSPIM) serta Tuan Haji Abdul Halim bin Yusof, Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia KETENGAH.
KETENGAH turut merakamkan penghargaan kepada barisan urus setia daripada Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia KETENGAH dengan kerjasama Encik Mohamad Syaufi Aizad bin Shamsudin, Pengurus Latihan INSPIM, Encik Md Sah Rizal bin Ismail, Komander Kem Permata Resort dan pihak-pihak lain yang terlibat.
Semoga segala ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan dalam melahirkan warga kerja KETENGAH yang lebih kompeten, profesional dan berdaya tahan demi kecemerlangan organisasi.





