KETENGAH ANJUR KEM SMART UPKK TAHUN 2026, PERKASA KESEDIAAN PELAJAR HADAPI PEPERIKSAAN

KUALA TERENGGANU, 26 SEPTEMBER 2026 – Bagi memastikan para pelajar lebih bersedia dari aspek mental, fizikal dan rohani dalam menghadapi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), KETENGAH melalui Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Sosial telah menganjurkan Kem Smart UPKK Tahun 2026 yang berlangsung di The Payang Scout Hotel, Kuala Terengganu.
Program tersebut melibatkan seramai 79 orang pelajar daripada lima buah sekolah rendah di DUN Bukit Besi, termasuk anak-anak ahli Kelab Keluarga KETENGAH (Kelab 3K).
Kem Smart UPKK Tahun 2026 dianjurkan dengan kerjasama Ustazah Azlina binti Mahtar, Penggubal dan Pemeriksa Kertas UPKK serta Persatuan Guru-Guru KAFA Terengganu (PERKAT). Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan dan bimbingan kepada para pelajar berkaitan kaedah serta teknik menjawab soalan UPKK secara sistematik dan berkesan. Pengisian program disampaikan oleh penceramah yang mempunyai pengalaman sebagai penggubal dan pemeriksa kertas UPKK, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta memperoleh panduan yang lebih tepat berkaitan format, kehendak soalan dan kaedah menjawab.
Selain penekanan terhadap aspek akademik, program ini turut memberi perhatian kepada persediaan mental dan pembinaan keyakinan diri para pelajar. Pendekatan tersebut penting bagi membantu pelajar mengurus tekanan, meningkatkan motivasi serta membina kesediaan diri sebelum menduduki peperiksaan.
Majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Encik Jafre bin Taib, Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial, yang mewakili YM. Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Turut hadir Encik Faizol bin Abd Aziz, Pengurus Hartanah dan Kuasa Tempatan merangkap Presiden Kelab Keluarga KETENGAH (Kelab 3K).
Penganjuran Kem Smart UPKK Tahun 2026 mencerminkan komitmen berterusan KETENGAH dalam menyokong pembangunan pendidikan, pembentukan sahsiah serta peningkatan potensi generasi muda di wilayah KETENGAH.
Usaha ini diharap dapat memberikan manfaat kepada para peserta dalam menghadapi peperiksaan UPKK dengan lebih yakin, selain menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan dan pembentukan generasi yang berilmu, berakhlak serta mempunyai jati diri yang kukuh.





