Pada 21 dan 22 Jun 2024, telah berlangsung Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Pengerusi KETENGAH bertempat di Padang Bola Felda Kerteh 5, Kemaman.
Sebanyak 24 pasukan bola sepak daripada seluruh Wilayah KETENGAH telah menyertai kejohanan yang telah berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 Jun 2024. Turut diadakan adalah acara sampingan untuk kanak – kanak, remaja dan komuniti setempat seperti Sepak Penalti, sukaneka dan pertandingan mewarna.
Kejohanan ini adalah sempena Program Semarak Sukan anjuran Persatuan Gabungan Generasi Wilayah KETENGAH yang merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2023 bagi menghimpunkan NGO-NGO Belia yang ada di Wilayah KETENGAH.
Yang Berbahagia Dato’ Seri (Dr) Ahmad bin Said, Pengerusi KETENGAH telah berkesempatan untuk merasmikan acara penutup dan menyampaikan piala kejohanan dan hadiah pertandingan. Program tersebut turut dihadiri Encik Faizol bin Abd Aziz, mewakili Pengurus Besar KETENGAH.
KETENGAH sentiasa menyokong aktiviti pembangunan belia dan sukan untuk para belia dan masyarakat bagi memastikan wujudnya pembangunan yang seimbang daripada segi pembangunan fizikal dan insaniah dalam Wilayah KETENGAH.