Program Pelepasan Tuntung Sungai 2025 telah diadakan pada 4 Oktober 2025 (Sabtu) bertempat di Pasir Pok Nasir, Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu Darul Iman.
Program yang memasuki tahun ke-13 penganjurannya pada tahun ini, telah disempurnakan perasmiannya oleh YM. Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH selain Prof. Dr. Maketab bin Mohamed, Pengerusi Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (TCS). Turut memeriahkan majlis adalah Dr Pazil bin Abdul Patah, Pengarah Bahagian Ex-Situ, Ibu Pejabat PERHILITAN Malaysia selain barisan Pengurus-pengurus Bahagian dan Ketua-ketua Unit KETENGAH dan wakil-wakil Jabatan/Agensi/Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) serta komuniti Kampung Pasir Gajah.
Acara kemuncak yang ditunggu-tunggu setiap tahun adalah pelepasan anak tuntung sungai yang merupakan simbolik terhadap usaha-usaha pemuliharaan spesies kritikal terancam, Batagur Affinis yang hanya terdapat di Malaysia dan Combodia walaupun spesies ini telah dilindungi sepenuhnya sejak tahun 2010 lagi.
Program konservasi dan pemulihan populasi tuntung sungai dengan komitmen tidak berbelah bahagi oleh Geng Tuntung dan Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang merupakan salah satu daripada 60 produk pelancongan dalam Wilayah KETENGAH telah berjaya melepaskan sebanyak 680 ekor tuntung ke Sungai Kemaman.
Seramai 1,000 orang pengunjung telah hadir ke program ini yang turut dimeriahkan dengan aktiviti pameran akademik kesedaran dan pemuliharaan hidupan akuatik, jualan usahawan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan acara sukan rakyat.
YM Dato’ Pengurus Besar KETENGAH dalam ucapan perasmiannya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000.00 bagi Projek Menaiktaraf Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang lengkap dengan fasiliti berkapasiti 40 orang pengunjung sebagai tanda sokongan berterusan oleh KETENGAH terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh TCS dan komuniti setempat.
Selain itu, turut diumumkan adalah bantuan peralatan jahitan kepada Komuniti Wanita Kampung Pasir Gajah yang mengusahakan produk cenderahati berasaskan Tuntung Sungai dengan nilaian RM90,000.00. Semua projek dan program ini adalah di bawah Projek Pembangunan Bersepadu Ekonomi Kampung (PROSPEK), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Adalah diharapkan program ini berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, di samping mengukuhkan semangat komuniti serta memberi peluang ekonomi kepada penduduk setempat melalui pelbagai aktiviti jualan dan pameran.