Pembudayaan sukan dalam perkhidmatan amat perlu kerana ianya bukan sahaja dapat melahirkan tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas tetapi juga menjadi pemangkin ke arah mutu perkhidmatan yang lebih tinggi.
Sehubungan dengan itu, Majlis Peluncuran Kejohanan Sukan Piala Pengurus Besar KETENGAH Tahun 2024 telah dilangsungkan bertempat di Kompleks Sukan Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa. YM Dato’ berpesan “Bermainlah dengan semangat kesukanan dan gunalah masa yang bernilai ini dengan merapatkan lagi ikatan kekeluargaan dalam keluarga besar KETENGAH serta sebagai persiapan menghadapi kejohanan sukan MAKSPEN pada tahun depan”.
Sebanyak 16 acara dengan 18 pingat emas akan menjadi rebutan pada tahun ini. Acara yang akan dipertandingkan ialah futsal, boling, sepak takraw, bola tampar (L & W), batu seremban (W), badminton, bola sepak, bola jaring, congkak (W), tarik tali, ping pong, petanque, karom, dart dan golf.
Mereka dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu, Tok Ku Paloh (putih), Bendahara : Haji Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Megat Panji Alam (kuning) Bendahara : Encik Zainuddin bin Haji Md. Zaki,
Abdul Rahman Limbong (biru) Bendahara : Haji Mahdi Amin bin Ahmad dan Tun Telanai (merah) Bendahara : Haji Ramli bin Shahul Hameed.
Objektif utama penganjuran sukan ini ialah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan warga KETENGAH, Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) dan JKR KETENGAH serta mengamalkan budaya hidup sihat melalui aktiviti sukan. Disamping itu ianya dapat membentuk disiplin tinggi, semangat kerjasama yang utuh dan mempunyai semangat daya juang yang tinggi.
Acara sukan pertama yang membuka tirai perlawanan ialah futsal. Perlawanan tersebut telah dimenangi oleh rumah biru yang menewaskan rumah putih di perlawanan akhir. Tempat ketiga disandang rumah kuning manakala tempat keempat rumah merah. Perlawanan tersebut lebih meriah dan hangat apabila mendapat sokongan daripada pasukan sorak rumah masing-masing.