KETENGAH telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kali Keempat Tahun 2025 bertempat di Dewan Utama, Blok D, Ibu Pejabat KETENGAH pagi tadi.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti dengan Lagu KETENGAH dan tayangan video yang menampilkan pelbagai program dan aktiviti anjuran KETENGAH dari Julai hingga Ogos 2025.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa bagi memberkati perjalanan program, diikuti dengan ucapan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH.
Dalam ucapannya, YM Dato’ berkata “Kita semua maklum bahawa cabaran pembangunan wilayah semakin kompleks dan menuntut kita untuk lebih berdaya saing. Kejayaan hanya akan dicapai dengan disiplin, integriti, dan semangat berpasukan”.
Pengurus Besar KETENGAH menambah “Setiap tugasan yang kita pikul adalah amanah. Apabila amanah ini dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan keikhlasan, hasilnya bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah membawa keberkatan kepada diri kita sendiri”.
Beliau menekankan kepentingan semangat kebersamaan warga kerja KETENGAH dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah organisasi pembangunan wilayah.
Sebagai acara kemuncak, majlis menyaksikan peluncuran Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025 sekali gus menandakan permulaan sambutan di peringkat KETENGAH sempena bulan kemerdekaan.
Majlis Perhimpunan Bulanan ini merupakan platform penting untuk memperkukuh silaturahim, menyampaikan maklumat organisasi serta memberi penghargaan atas usaha warga kerja yang telah menyumbang kepada kejayaan pelbagai program pembangunan KETENGAH.