YBhg Dato’ Haji Rozi bin Haji Mamat, Pengerusi KETENGAH, telah mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke pejabat KETENGAH sejak dilantik pada 1 November 2025. Lawatan ini menandakan permulaan penglibatan beliau secara langsung dalam aktiviti dan pembangunan organisasi bagi memastikan hala tuju KETENGAH selaras dengan aspirasi pembangunan luar bandar di wilayah KETENGAH.
Sepanjang lawatan tersebut, YBhg Dato’ Haji Rozi bin Haji Mamat telah mendengar taklimat pembangunan daripada YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Taklimat ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai perjalanan dan operasi KETENGAH. Ia dimulakan dengan penerangan mengenai latar belakang organisasi serta sejarah penubuhannya, diikuti dengan maklumat korporat termasuk struktur organisasi, fungsi setiap unit, dan peranan KETENGAH dalam pembangunan luar bandar.
Seterusnya, taklimat membincangkan pelan perancangan strategik KETENGAH bagi tempoh 2025 hingga 2035, yang merangkumi sasaran jangka panjang, strategi pembangunan dan inisiatif yang bakal dilaksanakan. YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri turut membentangkan pelbagai program dan projek yang dilaksanakan sepanjang tahun 2025 termasuk aktiviti dan sumbangan anak syarikat KETENGAH.
Taklimat turut menekankan isu dan cabaran yang dihadapi dan hala tuju organisasi (way forward), dengan penekanan kepada inovasi, pengukuhan strategi, dan penglibatan komuniti bagi memastikan KETENGAH terus berdaya saing serta memberi impak positif dan lestari dalam pembangunan luar bandar di Terengganu.
Lawatan rasmi ini membolehkan YBhg Dato’ Haji Rozi bin Haji Mamat memahami secara menyeluruh operasi KETENGAH dan merangka strategi bagi meningkatkan keberkesanan organisasi dalam tempoh jangka panjang.
Dalam lawatan ini, YBhg Dato’ Haji Rozi bin Haji Mamat turut menyampaikan sumbangan kepada enam orang penerima yang terjejas akibat bencana ribut baru-baru ini yang melanda Bandar Al Muktafi Billah Shah sebagai tanda keprihatinan KETENGAH terhadap komuniti luar bandar yang memerlukan bantuan.


















