logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Warisan Seni Melayu Curi Tumpuan di FKG 2025

Irama gamelan yang halus dan memukau bergema di Pulau Poh, Tasik Kenyir sempena Pertandingan Muzik Gamelan @ Festival Kenyir Geopark 2025, sekali gus menjadi antara acara yang paling mencuri tumpuan sepanjang festival berlangsung.

Pertandingan ini berjaya menghimpunkan kumpulan muzik tradisional dari pelbagai daerah yang menampilkan persembahan sarat kreativiti serta menonjolkan keunikan irama gamelan warisan seni budaya Melayu yang kaya dengan nilai sejarah dan keindahan estetik.

Muzik gamelan merupakan ensembel tradisional yang terdiri daripada pelbagai alat muzik berasaskan logam seperti gong, bonang, kenong, gambang dan saron, dimainkan secara harmoni bagi menghasilkan alunan lembut dan mendayu. Berakar daripada istana Melayu lama, irama gamelan bukan sekadar hiburan, malah melambangkan kesopanan, keharmonian, serta kehalusan budaya masyarakat Melayu.

Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja menghiburkan para pengunjung, malah menjadi usaha berterusan untuk memelihara dan memperkasakan seni muzik tradisional agar terus dihargai oleh generasi muda.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan Bima Sakti telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Muzik Gamelan D’Kenyir, diikuti oleh Kumpulan Gamelan Lestari Nada sebagai Naib Johan, manakala Kumpulan Gema Pawana meraih tempat ketiga. Kumpulan Legasi Gamelan KGB pula menerima Anugerah Kreativiti Terbaik atas persembahan yang penuh inovasi dan bertenaga.

Para pemenang menerima hadiah wang tunai bernilai RM2,000 bagi tempat pertama, RM1,500 bagi tempat kedua, RM1,000 bagi tempat ketiga, serta RM500 masing-masing bagi kategori Saguhati dan Anugerah Kreativiti Terbaik.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. To’ Puan Anizal binti Yusoff, Pengerusi PUSPANITA Cawangan KETENGAH.