Seramai 134 orang pegawai dan kakitangan KETENGAH telah menghadiri taklimat pengguna MyGovUC bertempat di Dewan Blok D, Ibu Pejabat KETENGAH, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu. Tujuan utama program ini dilaksanakan ialah bagi memberi pendedahan kepada pegawai dan kakitangan tentang fungsi dan ciri-ciri terbaru tentang MyGovUC 3.0.
MyGovUC adalah Perkhidmatan Komunikasi dan Kolaboratif Bersepadu yang diuruskan secara berpusat di Jabatan Digital Negara (JDN). Perkhidmatan ini menggabungkan saluran-saluran komunikasi seperti e-mel, persidangan video/audio dan chat.
Perkhidmatan MyGovUC yang dilaksanakan secara Software as a Service (SaaS) merangkumi dua skop perkhidmatan iaitu Perkhidmatan Software as a Service (SaaS) dan Perkhidmatan Aplikasi Sokongan.
Perkhidmatan Software as a Service (SaaS) ialah Sistem E-mel, Persidangan Dalam Talian (Meet), Penghantaran Fail Bersaiz Besar (Drive) dan Perbualan Secara Berkumpulan (Chat). Manakala Perkhidmatan Aplikasi Sokongan pula ialah Portal Rasmi MyGovUC, Perkhidmatan Mail Relay, Sistem Pengurusan Maklumat Pengguna (SPMP) dan Sistem Penghantaran Dokumen Sulit dan Terhad (SPDT).
Majlis Perasmian majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Hasri bin Omar, Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia mewakili YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH.
Hadir sama dalam taklimat berkenaan YBrs. Puan Mahanum binti Daim, Pengurus Projek Perkhidmatan Komunikasi & Kolaboratif Bersepadu Kerajaan (MYGovUC) Jabatan Digital Negara.
Pembentangan tentang MyGovUC telah disampaikan oleh Encik Razale bin Ibrahim, Ketua Unit Pengurusan Projek & Keselamatan, Puan Rajeswari a/p Subaramaniam, Unit Pengurusan Perubahan, Puan Engku Noor Haidah binti Engku Ahmad, Unit Operasi & Teknikal, Dr. Norliza binti Sidek, Penolong Pengarah Kanan dan Encik Muhammad Iqbal bin Azizi, Pasukan Pengurusan Perubahan dari Jabatan Digital Negara.