MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1448H/2026M DISAMBUT MERIAH

KAMPUNG DENDANG, DUNGUN, 24 Ogos 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menganjurkan Majlis Ilmu Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M di Kampung Dendang, Dungun bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta menyemarakkan penghayatan terhadap sirah dan akhlak Baginda.
Majlis mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat apabila ruang solat masjid dipenuhi para jemaah yang hadir bagi mengikuti ceramah yang disampaikan oleh YH Dato’ Dr. Haji Badli Shah bin Haji Alauddin, Timbalan Mufti Negeri Pahang. Turut hadir YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH, bersama barisan pengurusan dan warga kerja KETENGAH serta penduduk sekitar.
Dalam ceramahnya, YH Dato’ Dr. Haji Badli Shah menekankan kepentingan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat. Menurut beliau, membina hubungan yang baik tidak memerlukan modal yang besar, sebaliknya boleh dimulakan dengan amalan mudah dalam kehidupan seharian.
“Membangun ukhuwah ini tidak memerlukan modal besar pun. Ikutilah empat perkara ini, pertama, jumpa orang senyum; kedua, panggil orang dengan nama yang elok; ketiga, bila duduk bersama dalam majlis, sentiasa bergurau senda; dan keempat, jika berlaku perselisihan, bermaaf-maafanlah.”
Dalam majlis yang sama, Pengurus Besar KETENGAH turut menyerahkan replika cek bernilai RM10,000 kepada Pengerusi Masjid Kampung Dendang sebagai sumbangan bagi membantu keperluan dan usaha mengimarahkan masjid berkenaan.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen KETENGAH dalam menyokong pembangunan masyarakat secara menyeluruh, termasuk aspek kerohanian, pengukuhan ukhuwah dan kesejahteraan komuniti setempat.





