KURSUS MODUL PENGUKUHAN GOVERNANS, INTEGRITI & ANTIRASUAH (MPGIA) PENGURUSAN KETENGAH TAHUN 2026

Pada 26 dan 27 Ogos 2026, telah berlangsung Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti & Antirasuah (MPGIA) Pengurusan KETENGAH Tahun 2026 yang melibatkan barisan pengurusan KETENGAH. Kursus ini telah diadakan di Hotel Hatten dan Penjara Dusun Dato’ Murad, Melaka.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan memperkukuh kepimpinan berasaskan teladan serta meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap aspek governans, integriti dan antirasuah dalam kalangan barisan pengurusan. Usaha ini juga selaras dengan hasrat KETENGAH untuk membentuk ekosistem kerja yang telus, berakauntabiliti serta berintegriti tinggi.
Program dimulakan dengan ucaptama oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH, yang menekankan kepentingan kepimpinan berintegriti sebagai asas kepada penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berteraskan nilai murni.
Turut diadakan sesi SPINE menerusi taklimat Sistem Pengurusan Integriti dan Governans yang disampaikan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM), selain sesi Lawatan Penginsafan dan taklimat pemulihan bersama pihak Penjara Dusun Dato’ Murad. Program turut disusuli perkongsian interaktif bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberikan pendedahan berkaitan pencegahan rasuah serta kepentingan membudayakan integriti dalam organisasi.
Diharapkan pengisian Kursus MPGIA ini dapat terus memperkukuh amalan governans, meningkatkan tahap integriti serta memperkasakan budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga KETENGAH demi memastikan penyampaian perkhidmatan yang telus, berakauntabiliti dan bebas daripada rasuah.





