LAWATAN PENDIDIKAN DELEGASI ANTARABANGSA KUNJUNGI MUZIUM BUKIT BESI, DUNGUN, TERENGGANU

Muzium Bukit Besi, Dungun telah menerima kunjungan seramai 50 orang pelajar dan staf antarabangsa pada 11 Jun 2026 menerusi satu program lawatan pendidikan yang bertujuan memperkenalkan khazanah warisan perlombongan negara kepada delegasi dari luar negara.
Delegasi tersebut terdiri daripada 30 orang pelajar dan staf dari Yala Rajabhat University, Thailand, 10 orang pelajar dari Universitas Islam Negeri Salatiga, Indonesia, serta 10 orang pelajar dari Seri Eshwar College of Engineering, India. Lawatan ini telah diketuai oleh Cik Wan Nursyamimi Binti Wan Mohd Zafry daripada International Affairs Department, UiTM Cawangan Terengganu.
Program ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung mengenai sejarah kegemilangan industri perlombongan bijih besi di Bukit Besi yang pernah menjadi antara nadi ekonomi penting negara. Para peserta telah diberi penerangan mengenai perkembangan aktiviti perlombongan yang bermula sekitar tahun 1930 di bawah pengurusan Syarikat Nippon Mining Company (NMC) sebelum diteruskan oleh Syarikat Eastern Mining and Metal Company (EMMCO) sehingga operasinya ditamatkan pada tahun 1971. Mereka turut berpeluang meneliti pelbagai artifak tinggalan warisan perlombongan serta memahami kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang pernah mendiami kawasan tersebut, sekali gus menghayati peranan industri ini dalam membentuk landskap sosial dan ekonomi setempat.
Lawatan ini bukan sahaja memperkenalkan warisan sejarah Malaysia kepada pelajar antarabangsa, malah menyokong usaha KETENGAH dalam memelihara, mempromosi dan mengangkat nilai sejarah Bukit Besi sebagai khazanah berharga untuk dihayati oleh generasi masa kini dan akan datang.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan oleh UiTM Cawangan Terengganu sebagai usaha berterusan dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang informatif, interaktif dan santai kepada generasi muda, di samping memupuk kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan sejarah negara demi tatapan dan penghayatan generasi akan datang.





