Anugerah Kualiti dan Inovasi KKDW Tahun 2026

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah diamanahkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk bertindak sebagai Urus Setia merangkap Jawatankuasa Kecil Anugerah Kualiti dan Inovasi KKDW Tahun 2026. Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan anugerah tersebut, Pertandingan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (Pengurusan) KKDW Tahun 2026 telah berlangsung di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu.
Pertandingan ini melibatkan sebanyak 11 penyertaan projek inovasi pengurusan daripada Jabatan dan Agensi di bawah KKDW, antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bahagian Akaun dan Bahagian Penyelarasan dan Pemantauan KKDW, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), RISDA Sandakan Sabah, dan RISDA Perak.
Turut hadir memberikan sokongan dan menyantuni perjalanan pertandingan ialah Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH serta Pengarah MARA Negeri Terengganu, Encik Mohd Farris bin Radzuan.
Penilaian projek inovasi telah dilaksanakan oleh panel juri berpengalaman, iaitu Ts. Saifulbahari bin Mohd Rasid, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya, Puan Wan Suraya binti Sahabaludin, Ketua Seksyen Kualiti dan Strategik,Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Wisma MBSA, Shah Alam dan Tuan Haji Mohd Syafiq bin Yusof, Timbalan Pengarah, Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada barisan panel juri, semua Jabatan dan Agensi yang telah mengambil bahagian serta barisan urus setia yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini. Tahniah dan selamat maju jaya kepada semua peserta.
Semoga penglibatan dalam pertandingan ini menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak idea, inovasi dan amalan terbaik yang memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan awam.





