LAWATAN BAGI CADANGAN PENGURUSAN PADANG BOLA SEPAK SINTETIK DI KOMPLEKS SUKAN BANDAR AL MUKTAFI BILLAH SHAH, DUNGUN

Projek Membina dan Menaiktaraf Infrastruktur Pelengkap Kompleks Sukan Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) kini di fasa akhir dan dijangka siap pada akhir tahun 2026 dan mula beroperasi pada awal Januari 2027. Sejajar dengan usaha memastikan pengurusan dan pengoperasian padang bola sepak sintetik yang baik dan teratur, satu lawatan bagi cadangan pengurusan tersebut telah diadakan pada 8 Oktober 2026 di Mini Stadium Mak Chili, Kemaman dan Blaze Arena, Paka, Dungun.
Lawatan ini bertujuan bagi meninjau aspek-aspek penting pengurusan dan pengoperasian padang bola moden yang merangkumi sistem penyelenggaraan dan penjagaan rumput sintetik, tatacara pengurusan fasiliti harian, sistem tempahan (booking system) yang efisien, struktur pakej bayaran dan kadar sewaan yang kompetitif.
Lawatan ini telah dihadiri seramai 8 orang pegawai dan kakitangan yang diketuai oleh Encik Wan Salwadi bin Wan Sulong, Penolong Pengurus Kanan, Bahagian Hartanah dan Kuasa Tempatan bersama Penolong Pegawai Tadbir Bandar dan wakil Bahagian Perkhidmatan Teknik.
Ketibaan rombongan ke Mini Stadium Mak Chili, Kemaman telah disambut oleh Encik Ahmad Hafiz bin Zakaria, Pengurus Stadium dan Puan Sarah Nur Nadia binti Azmi selaku Penolong Pengurus stadium manakala lawatan ke Paka, Dungun telah disambut oleh YM Tengku Nasharudin bin Tengku Sulaiman, Pengurus Blaze Arena.
Inisiatif ini diambil bagi memastikan Pengurusan Padang Bola Sepak Sintetik di Kompleks Sukan Bandar Al Muktafi Billah Shah bukan sahaja menawarkan kemudahan sukan bertaraf terbaik untuk komuniti setempat, malah diuruskan dengan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.





