KUNJUNGAN ISTIMEWA KELUARGA BEKAS JURUTERA EMMCO KE MUZIUM BUKIT BESI

Muzium Bukit Besi telah menerima kunjungan istimewa daripada tiga orang pengunjung dari Australia, iaitu Sir David White, Downa White dan Graham White, yang merupakan ahli keluarga kepada mendiang Sir Ronald James White, bekas jurutera mekanikal yang pernah berkhidmat dengan Eastern Mining and Metal Company (EMMCO) semasa era perlombongan British di Bukit Besi sekitar tahun 1960-an. Lebih menarik, Sir David White dan Graham White juga pernah menetap di Bandar Bukit Besi sebelum berpindah ke Australia susulan penutupan operasi EMMCO.
Kunjungan ini merupakan satu detik yang amat bermakna kerana menghubungkan semula warisan sejarah perlombongan Bukit Besi dengan keluarga bekas pegawai yang pernah terlibat secara langsung dalam industri perlombongan bijih besi pada ketika itu.
Kunjungan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Encik Hasri bin Omar, Pengurus Kanan Korporat; Encik Mohd Hafiz bin Ahmad, Pengurus Pelancongan; serta Tuan Haji Abdul Halim bin Yusof, Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia. Dalam kunjungan berkenaan, pihak keluarga White telah bersetuju untuk menyumbangkan beberapa koleksi peribadi milik mendiang Sir Ronald James White kepada Muzium Bukit Besi. Antara koleksi yang disumbangkan ialah Buku Lesen Juruterbang, yang menjadi salah satu bukti sejarah bahawa Bukit Besi pernah menjadi lokasi pentauliahan juruterbang yang dibiayai oleh pihak EMMCO untuk pekerjanya.
Selain itu, turut disumbangkan koleksi piring hitam, gambar-gambar peribadi semasa berada di Bukit Besi serta lakaran Bandar Bukit Besi yang memaparkan pelbagai infrastruktur dan kemudahan sosial pada ketika itu, termasuk pawagam, stesen keretapi dan kemudahan lain yang sebahagiannya telah hilang ditelan zaman.
Sumbangan koleksi tersebut merupakan satu nilai tambah yang amat bermakna dalam usaha memperkukuh koleksi Muzium Bukit Besi, di samping mendokumentasikan sejarah perkembangan industri perlombongan bijih besi serta kehidupan masyarakat di Bandar Bukit Besi pada era EMMCO.
Sepanjang lawatan, rombongan turut berkesempatan meninjau bahan pameran, koleksi artifak serta maklumat sejarah berkaitan operasi perlombongan bijih besi yang pernah dijalankan oleh EMMCO di Bukit Besi. Lawatan ini turut menjadi platform perkongsian maklumat, pengalaman dan sejarah berkaitan EMMCO, khususnya mengenai kehidupan, peranan serta sumbangan mendiang Sir Ronald James White sebagai bekas jurutera syarikat tersebut dalam perkembangan industri perlombongan bijih besi di Bukit Besi.
Kehadiran keluarga bekas jurutera EMMCO dari Australia ini bukan sahaja memperkukuh hubungan sejarah antara keluarga bekas warga EMMCO dengan Muzium Bukit Besi, malah memberikan nilai tambah kepada usaha muzium dalam mendokumentasikan, memelihara dan memperkayakan naratif sejarah perlombongan bijih besi Bukit Besi untuk rujukan serta tatapan generasi akan datang.





