Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB) yang diketuai oleh Pengerusi KPFB, YBhg. Dato’ Haji Sabari bin Misran. Turut hadir bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif KPFB, En. Shahran bin Yunus serta beberapa ahli pengurusan kanan koperasi berkenaan.
Kunjungan ini merupakan susulan kepada Memorandum Kerjasama (MoC) yang telah dimeterai pada 1 Ogos 2025 antara KETENGAH dan KPFB. Lawatan ini bertujuan memberi peluang kepada pihak KPFB untuk meninjau sendiri potensi, sumber daya, serta peluang pelaburan dan pembangunan ekonomi di wilayah KETENGAH. Ia juga diharap dapat mempercepatkan pelaksanaan hasrat serta strategi yang digariskan melalui MoC tersebut.
Sebagai sebuah Koperasi Premier di Malaysia, KPFB dilihat mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan luar bandar melalui kepakaran dan pengalaman yang luas. Kerjasama dengan KETENGAH diyakini dapat membawa manfaat bersama, khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi, peningkatan pendapatan komuniti setempat, serta pewujudan peluang pekerjaan baharu.
Sepanjang kunjungan, delegasi KPFB telah dibawa oleh Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa melawat beberapa tapak projek termasuk Ladang Ternakan Ayam serta lokasi cadangan projek tanaman nenas. Kedua-dua projek ini dilihat mempunyai potensi besar bukan sahaja untuk menyumbang kepada kelestarian bekalan makanan negara, malah turut menyokong agenda kerajaan dalam memperkasa sektor agro-makanan serta menjadikan wilayah luar bandar sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi baharu.
Komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik ini akan menjadi pemangkin kepada penciptaan nilai tambah yang mampan serta menjadi contoh kerjasama pintar antara sektor awam dan gerakan koperasi di Malaysia.