SESI POCKET TALK DAN BICARA ASPIRASI INTEGRITI KETENGAH (BAIK) SIRI 4 TAHUN 2026

DUNGUN, 10 Ogos 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) meneruskan komitmen dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik menerusi penganjuran Sesi Pocket Talk dan Bicara Aspirasi Integriti KETENGAH (BAIK) Siri 4 Tahun 2026.
Program ini merupakan hasil kerjasama Unit Integriti KETENGAH, Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dalam usaha meningkatkan kesedaran serta kefahaman warga kerja terhadap kepentingan integriti, etika dan akauntabiliti dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Antara objektif utama penganjuran program adalah untuk memupuk dan memperkukuh budaya integriti dalam kalangan penjawat awam sebagai asas kepada kecemerlangan perkhidmatan. Selain itu, program ini turut memberi penekanan terhadap usaha melahirkan warga kerja yang beretika, profesional serta mempunyai tahap akauntabiliti yang tinggi.
Program dimulakan dengan taklimat bertajuk “Pengisytiharan Harta Penjawat Awam” yang disampaikan oleh Yang Berusaha Encik Baharudin bin Wahab, Ketua Unit Integriti KETENGAH.
Program kemudiannya diteruskan dengan sesi ceramah bertajuk “Ancaman Dadah dan Kesannya Terhadap Organisasi” yang disampaikan oleh Yang Berusaha Tuan Wan Mohd Nazarnoor bin Wan Ramli, Ketua Daerah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dungun. Sesi tersebut memberi penekanan terhadap ancaman penyalahgunaan dadah serta kesannya bukan sahaja kepada individu dan keluarga, malah turut memberi implikasi terhadap produktiviti, disiplin, imej dan keberkesanan sesebuah organisasi.
Penganjuran Sesi Pocket Talk dan Bicara Aspirasi Integriti KETENGAH (BAIK) Siri 4 ini diharap dapat meningkatkan kesedaran warga kerja KETENGAH mengenai kepentingan mengamalkan nilai integriti, mematuhi peraturan serta melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.





