BENGKEL PEMANTAPAN PEMAJU DESA SKIM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN RAKYAT (SPKR) KETENGAH TAHUN 2026

Kuala Terengganu,12-13 Ogos 2026 | Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Pemaju Desa Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) KETENGAH Tahun 2026 yang berlangsung selama 2 Hari 1 Malam bertempat di Raia Hotel & Convention Centre.
Bengkel ini diadakan sebagai platform untuk memperkukuh pengetahuan, kefahaman dan keupayaan Pemaju Desa KETENGAH dalam melaksanakan peranan sebagai penggerak serta agen kesejahteraan rakyat di desa-desa Wilayah KETENGAH. Antara pengisian utama bengkel adalah sesi brainstorming dan perkongsian pengalaman berkaitan kaedah siasatan serta verifikasi maklumat bagi permohonan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP). Sesi ini turut menjadi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman sebenar, mengenal pasti isu dan cabaran semasa yang dihadapi ketika turun ke lapangan serta membincangkan pendekatan yang lebih sistematik, tepat dan berkesan dalam proses semakan serta pengesahan maklumat pemohon.
Bengkel turut diserikan dengan kehadiran Bahagian Pembangunan Komuniti Desa, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diketuai oleh YBrs. Encik Zaflin bin Pakwanteh, Setiausaha Bahagian Pembangunan Komuniti Desa. Kerjasama dan perkongsian kepakaran antara KETENGAH dan KKDW ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kapasiti serta kompetensi penggerak masyarakat, di samping meningkatkan keberkesanan pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di Wilayah KETENGAH.





