Wilayah KETENGAH terus berdepan situasi banjir berikutan hujan berterusan yang melanda daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. Jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan trend peningkatan sejak 28 November 2025, dengan lebih banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menampung penduduk terjejas.
Perkembangan 28 November 2025 (Jam 2.30 Petang)
Pada peringkat awal, sembilan PPS beroperasi di Dungun dan Kemaman, menempatkan 574 mangsa daripada 86 keluarga.
• Di Dungun, tiga PPS dibuka dengan 135 mangsa. PPS Sekolah Agama Al Najmi menempatkan 25 mangsa, Dewan KH Shukor 51 mangsa, dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menjadi pusat terbesar di daerah itu dengan 59 mangsa.
• Di Kemaman, enam PPS menampung 439 mangsa dengan Masjid Padang Kubu mencatat angka tertinggi iaitu 208 mangsa.
Perkembangan 28 November 2025 (Jam 7.00 Petang)
Jumlah PPS meningkat kepada 11 buah, merangkumi 3 PPS di Dungun, 6 di Kemaman dan 2 di Hulu Terengganu, dengan 765 mangsa daripada 206 keluarga.
Pihak KETENGAH terus mempergiat tindakan bantuan dengan menyalurkan Kit Bantuan Bencana ke beberapa PPS terjejas. Wakil KETENGAH, YBrs. Encik Hasri bin Omar turut turun padang menyampaikan keperluan asas di PPS Sekolah Kebangsaan Ibok dan PPS Masjid Kampung Padang Kubu. KETENGAH turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mempercepatkan proses penyaluran bantuan.
Perkembangan 29 November 2025 (Jam 12.00 Tengah Hari)
Keadaan banjir terus menunjukkan peningkatan. Sebanyak 16 PPS kini dibuka di seluruh Wilayah KETENGAH, melibatkan 825 mangsa daripada 242 keluarga.
Butiran mengikut daerah adalah seperti berikut:
Dungun
4 PPS beroperasi:
– Sekolah Agama Al Najmi Ketengah Jaya (30 mangsa)
– Dewan Semai Bakti Felda Kerteh 4 (112 mangsa)
– Dewan Serbaguna Kampung Shukor (143 mangsa)
– Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (113 mangsa)
Kemaman
10 PPS beroperasi, menjadikannya daerah paling terjejas:
– Masjid Padang Kubu menempatkan angka tertinggi dengan 251 mangsa
– SK Ibok (151 mangsa)
– Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih/Teladas (91 mangsa)
– PPS lain termasuk Felda Kerteh 5, Seberang Tayur Hulu, Batu 16 Tebak, Felda Neram 2, Batu 14, Kampung Dadong dan Kampung Batu 14 dengan jumlah lebih kecil
Hulu Terengganu
2 PPS beroperasi:
– Balai Raya Kampung Durian Kassim (13 mangsa)
– Surau Lubok Batu (11 mangsa)
Sepanjang perkembangan ini, KETENGAH terus komited menyalurkan Kit Bantuan Bencana dan memastikan kebajikan mangsa dipelihara di semua PPS yang terlibat.

































