Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menganjurkan Majlis Solat Hajat dan Doa Keselamatan serta Kesejahteraan yang disusuli dengan Wacana Ehwal Islam MADANI Wilayah KETENGAH Tahun 2026M / 1447H bertempat di Pusat Islam, Bandar Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu.
Program ini diadakan sebagai pengisian rohani kepada warga dan penduduk wilayah KETENGAH dalam mengimarahkan bulan Syaaban serta membuat persediaan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan.
Wacana bertemakan “Ramadan di Hati, Ihsan di Peribadi” telah menampilkan barisan panel jemputan iaitu Ustaz Dato’ Dr. Haji Zulkifly bin Muda dan Ustaz Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin Al-Joofre, manakala sesi tersebut dikendalikan oleh Ustaz Nabil bin Ahmad selaku moderator. Kupasan yang disampaikan memberi penekanan kepada penghayatan nilai ihsan, pembinaan akhlak serta pengukuhan jati diri umat Islam selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Antara intipati utama yang diketengahkan ialah kepentingan menjadikan ibadah puasa sebagai medan untuk membentuk peribadi yang lebih baik dan berakhlak mulia. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah mendidik hati agar lebih sabar, amanah dan berdisiplin. Ibadah ini juga menjadi wasilah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT serta memperkukuh hubungan sesama manusia.
Panel turut menasihati agar umat Islam berbelanja secara berhemah sepanjang Ramadan dan mengelakkan pembaziran, selaras dengan tuntutan agama yang menyeru kepada kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Selain itu, hadirin diseru agar memperbanyakkan doa agar Ramadan tahun ini menjadi Ramadan terbaik buat semua, dipenuhi rahmat, keberkatan dan kemuliaan yang berpanjangan.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH; Yang Berusaha Encik Zainuddin bin Haji Md Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan); Yang Berusaha Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Pengurus Kanan (Korporat); barisan pengurusan, pegawai dan kakitangan KETENGAH serta pemimpin dan masyarakat setempat.
Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi wadah pengukuhan spiritual dan penyatuan ummah, malah turut memperkenalkan Pusat Islam Bandar Ketengah Jaya sebagai pusat aktiviti keagamaan dan pembangunan sahsiah masyarakat setempat.
KETENGAH akan terus komited menganjurkan program berteraskan nilai keagamaan dan pembangunan insan bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.


























