Bagi memperkukuhkan persediaan pegawai dan kakitangan KETENGAH dalam penyertaan Anugerah Inovasi Pengurusan Teknikal dan Pengurusan Madani KKDW Tahun 2025, satu Kursus Inovasi dan Pemantapan Dokumentasi telah diadakan selama 3 hari 2 malam bermula 6 hingga 8 Julai 2025 bertempat di IDEAS Hotel, Kuala Lumpur.
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai elemen penting dalam menghasilkan dokumentasi inovasi yang berkualiti, di samping memupuk budaya kerja berteraskan pemikiran kreatif, sistematik dan berimpak tinggi selaras dengan nilai-nilai Madani dan keperluan semasa perkhidmatan awam.
Antara barisan penceramah jemputan sepanjang kursus tersebut ialah Tuan Haji Mohd Syafiq bin Yusof, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Amalan dan Perkembangan Farmasi), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kapten Zuraini binti Jusoh, Koordinator Latihan & Strategik Kelestarian Teknologi Ketenteraan, Universiti Teknologi MARA Terengganu, Cawangan Dungun.
Kursus ini dikendalikan oleh Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia KETENGAH dengan kerjasama Ustaz Wan Mohd Ridhwan bin Wan Azam, Pegawai Latihan, Taman Tamadun Islam. Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Encik Hasri bin Omar, Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia. Beliau turut menyampaikan pesanan agar semua peserta mengambil peluang yang diperoleh melalui kursus ini untuk terus menyumbang idea-idea baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada jabatan dan organisasi secara keseluruhan.
Diharapkan kursus ini menjadi pemangkin kepada penyertaan yang lebih berkualiti dalam pertandingan inovasi peringkat KKDW serta mewujudkan budaya inovasi yang mampan dalam kalangan warga kerja.