Acara Sukan Air merupakan antara aktiviti wajib yang sentiasa dinantikan sejak penganjuran festival Kenyir diperkenalkan pada tahun 1994, yang ketika itu dikenali sebagai Kenyir Ecofest. Pada edisi kali ini, Festival Kenyir Geopark 2025 meneruskan tradisi tersebut dengan pelbagai pertandingan menarik diadakan bagi memeriahkan suasana di Tasik Kenyir.
Antara acara sukan air yang dipertandingkan ialah Pukul Bantal dan Tarik Tali. Pertandingan ini berjaya menarik penyertaan seramai 40 peserta yang mewakili lapan pasukan, terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan penduduk kampung setempat.
Majlis Penyampaian Hadiah Acara Sukan Air telah disempurnakan oleh Encik Adnan bin Awang Sulong, Pengurus Pemantauan dan Kawal Selia Anak Syarikat yang mewakili Pengurus Besar KETENGAH.
Pasukan PDB FC muncul Johan keseluruhan dan membawa pulang wang tunai RM400, diikuti oleh Pasukan Yak Yak Yei di tempat kedua dengan hadiah RM300, manakala Pasukan Toman di tempat ketiga menerima RM200. Pasukan lain turut menerima saguhati bernilai RM100 sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
Selain itu, turut dipertandingkan acara Kayak Relay yang berlangsung pada 30 Oktober 2025 (Khamis) jam 2.30 petang, dengan penyertaan 20 pasukan terdiri daripada pelajar IPT dan penduduk kampung berhampiran.
Bagi kategori ini, Pasukan Rovers FC dinobatkan sebagai Johan keseluruhan dan menerima wang tunai RM400. Pasukan Food Truck Yak Yak Yei meraih tempat kedua dengan RM300, manakala Pasukan Puskon di tempat ketiga membawa pulang RM200. Pasukan di tempat keempat hingga kelapan menerima RM100 setiap satu, manakala tempat kesembilan hingga kedua puluh menerima RM50 sebagai galakan penyertaan.
Penganjuran acara sukan air ini bukan sahaja menambah kemeriahan festival, malah terus memperkukuh semangat kesukanan, perpaduan, dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat serta para pelajar.

















