11 April 2026– Majlis Sejenak Bersama Ilmu yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-53 Penubuhan KETENGAH telah berlangsung dengan jayanya secara serentak di tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Program berkonsepkan pengisian rohani ini menampilkan penceramah-penceramah berwibawa yang membicarakan tajuk “Menabur Bakti, Membina Insan”, sejajar dengan usaha memperkukuh nilai keilmuan dan sahsiah dalam kalangan masyarakat.
Di Hulu Terengganu, program telah diadakan di Masjid FELDA Jerangau Barat dengan menampilkan penceramah terkenal, YBhg. Ustaz Dato’ Dr. Haji Zulkifly bin Muda, mantan Mufti Negeri Terengganu, yang menyampaikan ceramah penuh penghayatan. Sementara itu, di Dungun, Masjid Muhajirin FELDA Jerangau menjadi lokasi program ceramah agama yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz Haji Ahmad Kamal bin Abdullah, seorang penceramah bebas.
Di Kemaman pula, Masjid Bandar Seri Bandi menjadi tumpuan masyarakat setempat dengan pengisian ilmiah oleh YBhg. Ustaz Abdul Halim bin Awang @ Sulong, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Ketiga-tiga lokasi mencatatkan kehadiran yang amat memberangsangkan dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia dan warga emas yang memenuhi ruang masjid bagi mengikuti pengisian yang disampaikan.
Penganjuran program ini bertujuan bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu, malah turut memperkukuh perpaduan komuniti serta mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah. Majlis diakhiri dengan solat hajat dan bacaan doa selamat. KETENGAH juga telah menyumbangkan sebanyak RM3,000 kepada masjid berkenaan bagi memperkasa serta mengimarahkan syiar Islam.
Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih meluas daripada pelbagai pihak, selaras dengan usaha membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia serta seimbang dari segi rohani dan jasmani.


























