logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KE-53 PENUBUHAN KETENGAH

Hari ini 12 April 2026 merupakan hari ulang tahun penubuhan KETENGAH . 53 tahun merupakan satu tempoh yang panjang dan penuh bermakna dalam menzahirkan komitmen, perjuangan serta khidmat bakti kepada masyarakat. Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, KETENGAH telah melakar sejarah tersendiri sebagai sebuah agensi pembangunan wilayah yang memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membangunkan kawasan secara terancang dan menyeluruh.

Sejak diperbadankan pada 12 April 1973 melalui Akta Parlimen Bil. 104/73, KETENGAH bukan sahaja menjadi pemacu pembangunan fizikal, malah turut berperanan sebagai penggerak pembangunan ekonomi, sosial dan modal insan. Pelbagai usaha yang dilaksanakan telah membawa perubahan besar kepada kehidupan masyarakat, khususnya di kawasan-kawasan yang menerima limpahan manfaat daripada perancangan serta pelaksanaan program pembangunan wilayah di lima (5) perbandaran yang diwujudkan. Daripada kawasan hutan belantara, pewujudan lima (5) buah bandar baharu secara terancang telah berjaya merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial.

Sepanjang tempoh ini, KETENGAH telah membuktikan bahawa pembangunan yang dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara berterusan mampu memberikan impak besar kepada rakyat. Pembinaan infrastruktur, infostruktur, penyediaan kemudahan asas, pelaksanaan program ekonomi, serta inisiatif pembangunan komuniti merupakan antara sumbangan penting yang telah membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat. Lebih membanggakan, KETENGAH turut berperanan dalam membuka ruang dan peluang kepada rakyat untuk terus maju, berdikari serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa.

Kejayaan yang dikecapi sepanjang 53 tahun ini pastinya tidak datng dengan mudah. Ia terhasil daripada iltizam, dedikasi dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk barisan kepimpinan, warga kerja, agensi kerajaan, pemimpin tempatan serta masyarakat setempat. Setiap perancangan yang digerakkan dan setiap usaha yang dilaksanakan merupakan manifestasi komitmen tinggi KETENGAH dalam menabur bakti tanpa jemu demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan wilayah.

Dalam meniti era moden yang semakin mencabar, KETENGAH terus komited untuk bergerak seiring dengan perubahan dan keperluan semasa. Semangat untuk menabur bakti ini perlu diteruskan melalui pendekatan yang lebih inovatif, lestari dan berimpak tinggi agar manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang. Ulang tahun ini bukan sahaja menjadi medan untuk meraikan pencapaian lalu, tetapi juga menjadi titik tolak untuk merencana masa depan yang lebih gemilang sebagai Peneraju Pemodenan Pembangunan.

Sesungguhnya, 53 Tahun KETENGAH Menabur Bakti melambangkan ketekunan, keikhlasan dan kesungguhan sebuah institusi dalam membela nasib rakyat serta membangunkan wilayah dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Semoga KETENGAH terus unggul sebagai peneraju pembangunan, terus menabur jasa kepada masyarakat, dan terus mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan.

Tidak dilupakan juga kepada pesara-pesara KETENGAH yang telah menamatkan perkhidmatan. Jasa dan bakti kalian amat disanjung tinggi dalam menjadikan KETENGAH sebagai salah satu agensi pembangunan wilayah yang unggul. Segala sumbangan, pengorbanan dan komitmen yang telah dicurahkan akan sentiasa dikenang dan dihargai.

Selamat Ulang Tahun Ke-53 Penubuhan KETENGAH. Bersama Membangun, Peneraju Pemodenan Pembangunan.