logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

HADIAH ISTIMEWA RAMADAN BUAT DUA KELUARGA PENERIMA RUMAH PPRS

Ajil, Hulu Terengganu | Khamis, 12 Februari 2026 : Ramadan kali ini membawa sinar kebahagiaan kepada dua keluarga apabila impian untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

Majlis penyerahan replika kunci rumah telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH bersama Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Penyerahan tersebut menjadi simbol komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

Penerima pertama, Encik Mohamad Sakri bin Kadir, 58 tahun, dari Kampung Peroh, Ajil, Hulu Terengganu merupakan penerima pertama bantuan di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dalam wilayah KETENGAH. Rumah yang dibina melibatkan kos sebanyak RM79,000.00, sekali gus menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa untuk beliau sekeluarga.

Manakala penerima kedua, Encik Zamri bin Chik, 53 tahun, dari Kampung Lubuk Batu menerima rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kini dijenamakan semula sebagai Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS). Pembinaan rumah beliau melibatkan kos sebanyak RM66,000.00. Bantuan ini amat bermakna dalam memastikan beliau sekeluarga dapat menikmati kediaman yang lebih selamat, selesa dan sempurna.

Program ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan miskin dan miskin tegar memiliki kediaman yang lebih berkualiti. Rumah yang dibina menepati spesifikasi keselamatan serta dilengkapi kemudahan asas yang sempurna bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan hidup penerima.

Yayasan KETENGAH turut menyampaikan sumbangan dapur gas kepada dua keluarga tersebut bagi meringankan beban keperluan asas mereka.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini mencerminkan iltizam berterusan dalam memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar serta memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.