Header Portal

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Karung Berkunci No 3, 23400, Al Muktafi Billah Shah

Tel: 09-8231000|Emel: ketengah@ketengah.gov.my

PROJEK PENGUKUHAN TEBING TAMBATAN RUMAH BOT BERNILAI RM8.7 JUTA PERKUKUH INFRASTRUKTUR PELANCONGAN TASIK KENYIR

20 Julai 2026
PROJEK PENGUKUHAN TEBING TAMBATAN RUMAH BOT BERNILAI RM8.7 JUTA PERKUKUH INFRASTRUKTUR PELANCONGAN TASIK KENYIR

HULU TERENGGANU, 20 Julai 2026 – KETENGAH terus memperkukuh pembangunan infrastruktur pelancongan di Tasik Kenyir apabila Projek Membina dan Menyiapkan Kerja-Kerja Pengukuhan Tebing Tambatan Rumah Bot dan Tandas serta Kemudahan Berkaitan di Atas Lot PT1001 berjaya disiapkan dan diserahkan kepada KETENGAH dalam satu majlis yang berlangsung di Pengkalan Utama, Tasik Kenyir.


Majlis Penyerahan dan Perasmian projek tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH, dan ketibaan beliau disambut oleh YM Dato' Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH bersama-sama barisan pengurusan kanan KETENGAH.


Projek bernilai RM8.7 juta itu melibatkan pembinaan 40 unit tambatan rumah bot, 30 unit pontun bot laju, laluan pejalan kaki sepanjang 600 meter, 88 petak parkir, sebuah pondok keselamatan, rumah sampah serta lapan kubikel tandas awam. Penyediaan kemudahan ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 160 pengusaha pengangkutan air di Tasik Kenyir serta meningkatkan kecekapan pengurusan operasi pelancongan di kawasan tersebut.


Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Dato' Rozi berkata, pelaksanaan projek ini membuktikan komitmen berterusan KETENGAH dalam menyediakan kemudahan awam yang berkualiti, selamat dan kondusif bagi menyokong pembangunan sektor pelancongan di wilayah KETENGAH. Inisiatif ini turut mendukung aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasa pembangunan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur yang mampan, berdaya saing dan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Green Monitoring Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama, Arkitek Punca Cipta selaku perunding utama, agensi-agensi teknikal serta seluruh warga KETENGAH yang telah memberikan komitmen tinggi sehingga projek ini berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan. Menurut beliau, projek Jeti Tambatan Rumah Bot ini diyakini mampu menyelesaikan isu penempatan bot yang tidak tersusun di sekitar Pengkalan Gawi secara berperingkat, sekali gus mewujudkan sistem pengurusan bot yang lebih sistematik dan teratur. Selain meningkatkan aspek keselamatan, kemudahan tersebut akan meningkatkan imej Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama negara.


Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesuatu pembangunan bukan hanya diukur melalui siapnya sesebuah projek, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan, diurus dan dipelihara dengan baik oleh semua pihak demi manfaat berterusan kepada masyarakat dan industri pelancongan.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah YM Tengku Mahri bin Tengku Chik, Ahli Jemaah Lembaga KETENGAH, barisan Pengurusan KETENGAH, wakil kontraktor, Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir serta wakil-wakil daripada agensi dan jabatan berkaitan.


Pelaksanaan projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan Tasik Kenyir melalui penyediaan kemudahan yang lebih moden, teratur dan selesa, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan daya saing Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.

Galeri

Hubungi Kami

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
Bandar Al-Muktafi Billah Shah
23400 Dungun, Terengganu
Tel: +609 8231000
Faks: +609 8223105

Statistik Pelawat

Hari Ini
361
Bulan Ini
17,296
Jumlah
3,962,176

Kemaskini: 30 September 2026

    © 2026 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah. Semua hak cipta terpelihara.