PROGRAM GOTONG-ROYONG SEMPENA PROGRAM TAMAN PERPADUAN MERDEKA "RUMAHKU SYURGAKU" KRT ZON AMBS 2026

17 Julai 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah bersama-sama masyarakat dalam Program Gotong-Royong sempena Program Taman Perpaduan Merdeka "Rumahku Syurgaku" Tahun 2026 yang dianjurkan oleh KRT Zon AMBS bertempat di Taman Permainan, Taman Indah, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS).
Program yang dilaksanakan secara kolaboratif bersama agensi dan komuniti setempat ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan masyarakat serta memupuk budaya kerjasama dalam usaha mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan kondusif. Program ini merupakan siri kedua pelaksanaannya selepas siri pertama yang telah diadakan di Taman Madani pada 3 Julai 2026 dan dijadualkan berlangsung sehingga bulan September 2026.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berganding bahu melaksanakan pelbagai aktiviti gotong-royong termasuk membersihkan kawasan, menebas semak samun, mengutip sampah serta menebang pokok yang berisiko demi memastikan persekitaran taman sentiasa bersih, ceria dan selamat untuk kegunaan masyarakat.
Program ini telah dihadiri oleh YM Dato' Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Turut hadir ialah Encik Faizol bin Abd Aziz, Pengurus Hartanah dan Kuasa Tempatan, pegawai serta kakitangan KETENGAH, wakil-wakil agensi kerajaan dan komuniti setempat yang bersama-sama menjayakan program ini.
Penyertaan KETENGAH dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam menyokong usaha memperkukuh perpaduan komuniti, memupuk semangat kesukarelawanan serta mempertingkatkan kualiti persekitaran hidup masyarakat di Wilayah KETENGAH selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.





