PEMBUKAAN TAPAK RECREATIONAL VEHICLE (RV) & GLAMPING TASIK KENYIR PERKASA EKOPELANCONGAN WILAYAH KETENGAH HULU TERENGGANU

16 Julai 2026 – Satu lagi produk pelancongan berasaskan alam semula jadi di Tasik Kenyir telah diperkenalkan menerusi Pembukaan Tapak Recreational Vehicle (RV) & Glamping Tasik Kenyir yang dikendalikan oleh Koperasi Serbaniaga Tasik Kenyir selaku operator pengurusan tapak berkenaan.
Majlis pembukaan tersebut telah disempurnakan oleh YM Tengku Mahri bin Tengku Chik, Ahli Jemaah Lembaga KETENGAH. Turut mengiringi beliau ialah Encik Hasri bin Omar, Pengurus Kanan (Korporat) KETENGAH bersama pegawai-pegawai KETENGAH.
Pembukaan Tapak RV & Glamping Tasik Kenyir merupakan satu langkah strategik dalam memperluaskan lagi produk pelancongan yang terdapat di Tasik Kenyir, khususnya dalam segmen pelancongan rekreasi dan penginapan berkonsepkan alam semula jadi. Konsep penginapan ini menawarkan pengalaman yang lebih dekat dengan keindahan alam sekitar dan sekali gus memenuhi permintaan pelancong yang semakin cenderung kepada aktiviti rekreasi luar serta gaya percutian berteraskan ekopelancongan.
Kewujudan Tapak RV & Glamping ini dijangka akan melengkapkan lagi ekosistem pelancongan di Tasik Kenyir dengan menawarkan pilihan penginapan yang lebih pelbagai dan memenuhi keperluan pelbagai kategori pelancong. Selain itu, pembukaan tapak ini dijangka akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi komuniti serta menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasakan sektor pelancongan negara.





