logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

KETENGAH Sertai Osaka Expo World 2025

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, telah menyertai Ekspo Dunia 2025 Osaka yang berlangsung di Osaka, Kansai, Jepun. Penyertaan ini berlangsung sepanjang minggu khusus untuk KKDW di Pavilion Malaysia, bermula dari 16 hingga 20 Jun 2025.

Dengan membawa tema β€œRural Charms, Cultural Wonders”, KETENGAH mempersembahkan kekayaan pelancongan luar bandar serta warisan budaya dari Wilayah KETENGAH melalui pendekatan teknologi moden dan pameran interaktif.

Antara tarikan utama ialah penggunaan teknologi Realiti Maya (VR), yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman maya mengembara ke destinasi-destinasi menarik seperti Tasik Kenyir, menyusuri sejarah perlombongan Bukit Besi, serta menikmati persembahan kebudayaan tradisional seperti tarian gamelan dan tarian rakyat Terengganu.

Tidak ketinggalan, elemen warisan tekstil seperti kain songket dan batik turut dipamerkan, di mana pengunjung diberi peluang untuk mencuba pakaian tradisional tersebut. Aktiviti ini bukan sahaja memperlihatkan kehalusan seni kraftangan tempatan, malah memberi peluang kepada pelawat antarabangsa merasai pengalaman kebudayaan secara langsung.

Menurut Puan Fadhlina binti Mohammed, Pengurus Pelancongan KETENGAH, penyertaan ini memberi ruang strategik untuk mempromosikan wilayah KETENGAH sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang autentik, kaya budaya dan potensi ekonomi.
Sementara itu, Encik Hazroll Eizwal bin Jasni, Pengurus Pembangunan Teknologi Maklumat & Komunikasi KETENGAH, menekankan bahawa penggunaan teknologi VR membuka peluang baharu dalam mempromosikan produk pelancongan luar bandar di peringkat global, selari dengan era pendigitalan.

β€œMelalui gabungan teknologi dan budaya, KETENGAH yakin dapat menarik lebih ramai pelancong serta pelabur untuk meneroka potensi luar bandar yang terdapat di wilayah kami,” jelas beliau.
Penyertaan ini menjadi antara usaha berterusan KKDW dalam memperkukuh promosi desa dan wilayah di peringkat antarabangsa, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pesona luar bandar dan warisan budaya disamping menjadi medan terbaik bagi KETENGAH mengetengahkan potensi pelancongan luar bandar wilayah KETENGAH dan Terengganu dalam arena global.