TEMASYA WARISAN BUKIT BESI 2026 SEMARAKKAN WARISAN, BUDAYA DAN PELANCONGAN TEMPATAN

BUKIT BESI, DUNGUN 23 Oktober 2026– Majlis Perasmian Temasya Warisan Bukit Besi 2026 telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Radzi bin Md Noor, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH, yang mewakili Pengurus Besar KETENGAH.
Program anjuran Koperasi Majlis Perbandaran Dungun (KOPEDU) dengan kerjasama KETENGAH itu berlangsung di Tasik Puteri, Bukit Besi, bagi mengetengahkan keunikan seni, budaya dan warisan tempatan, di samping memperkukuh penglibatan komuniti dalam memelihara khazanah warisan setempat.
Pelbagai aktiviti menarik menanti anda antaranya Cabaran Raja Lambat bagi motosikal dan basikal, pertandingan bot kawalan jauh BB Boat Race, aktiviti mencanting batik Canting & Chill, Blind Bite Challenge, persembahan artis tempatan dan pertunjukan silap mata.
Turut diadakan ialah aktiviti Brisk Walk, jelajah lokasi bersejarah menerusi Bas Bukit Besi Heritage, Colour Battle Cilik Edition serta jualan oleh pelbagai vendor yang menawarkan produk dan barangan kepada pengunjung.
Penganjuran Temasya Warisan Bukit Besi 2026 bukan sahaja menyediakan ruang untuk masyarakat menikmati aktiviti rekreasi dan kebudayaan, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan serta menjana peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.
Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan KETENGAH dalam menyokong pembangunan komuniti dan mempromosikan potensi pelancongan Wilayah KETENGAH, khususnya Bukit Besi, sebagai destinasi yang kaya dengan nilai sejarah, budaya dan warisan.





