Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) bagi pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah diadakan pada 10 hingga 12 Februari 2026 (Selasa hingga Khamis) bertempat di Hotel Puteri Bay.
Kursus anjuran Unit Integriti KETENGAH dengan kerjasama Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (INSPIM) ini telah melibatkan seramai 34 orang pegawai dan kakitangan merangkumi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.
Majlis Perasmian Penutup kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Radzi bin Md. Noor, Pengurus Hartanah dan Kuasa Tempatan KETENGAH. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa aspek governans, integriti dan pencegahan rasuah perlu diberi perhatian serius dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tadbir urus organisasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
Isu kelemahan governans, pelanggaran integriti serta risiko rasuah merupakan antara cabaran utama dalam pengurusan organisasi sektor awam yang berpotensi menjejaskan kepercayaan masyarakat, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta reputasi agensi. Justeru, pengukuhan nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik perlu diperkasakan secara sistematik dan berstruktur dalam kalangan warga kerja KETENGAH sebagai peneraju pembangunan wilayah.
Bagi memastikan pematuhan dan keberkesanan pelaksanaan inisiatif integriti, setiap program MPGIA dilaporkan dalam Sistem Pengurusan Integriti Agensi (AIMS) yang dikawalselia oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pelaporan ini berfungsi sebagai mekanisme pemantauan berpusat untuk menilai tahap pematuhan serta impak pelaksanaan inisiatif pengukuhan integriti di peringkat organisasi dalam usaha memperkukuh tatakelola dan mencegah salah laku serta rasuah.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan KETENGAH dalam memperkasakan budaya integriti dan tadbir urus cemerlang selaras dengan aspirasi perkhidmatan awam yang berakauntabiliti dan berintegriti tinggi.


















