Header Portal

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Karung Berkunci No 3, 23400, Al Muktafi Billah Shah

Tel: 09-8231000|Emel: ketengah@ketengah.gov.my

HARI INTEGRITI DAN PSIKOLOGI KETENGAH TAHUN 2025

27 November 2025
HARI INTEGRITI DAN PSIKOLOGI KETENGAH TAHUN 2025

Hari Integriti dan Psikologi KETENGAH Tahun 2025 telah diadakan dengan jayanya di Balai Orang Ramai (BALORA), Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun. Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang nilai-nilai murni dan membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam, khususnya usaha mewujudkan persekitaran bebas daripada amalan rasuah dan penyelewengan. Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan, pemahaman, dan kemahiran dalam kalangan pegawai serta kakitangan KETENGAH bagi mencapai hasil kerja yang lebih produktif dan berkualiti.


Antara pengisiannya, satu ceramah bertajuk “Mengatasi Godaan Rasuah, Pendekatan Psikologi Dalam Membentuk Integriti” telah disampaikan oleh penceramah terkenal tanah air, Saudara Syamsul Debat. Ceramah ini memberi penekanan kepada pentingnya pembentukan integriti dalam diri setiap individu serta pendekatan psikologi yang boleh digunakan untuk menentang godaan rasuah dan menjaga integriti diri.


Pada majlis yang sama, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH, turut melancarkan dua aplikasi dalam talian yang akan memudahkan urusan harian, iaitu eSISPER dan SAGA Mobile. eSISPER adalah aplikasi telefon pintar untuk Sistem Perumahan KETENGAH yang membolehkan orang awam, khususnya penduduk di wilayah KETENGAH, dan kakitangan KETENGAH membuat bayaran secara dalam talian (sewaan/pemilikan) melalui Gerbang Pembayaran FPX.


Sementara itu, SAGA Mobile adalah aplikasi untuk Sistem Perakaunan Standard Agensi Kerajaan (SAGA) KETENGAH yang membolehkan pegawai dan kakitangan KETENGAH membuat permohonan pinjaman secara dalam talian, menguruskan maklumat peribadi untuk penyelarasan Potongan Cukai Bulanan (PCB), dan mendapatkan Penyata Pendapatan serta EC Form secara dalam talian.


Hadir pada majlis tersebut adalah pegawai dan kakitangan KETENGAH, anak syarikat, serta Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP). Kejayaan program ini diharapkan dapat memperkukuh nilai integriti dalam kalangan penjawat awam dan memberi manfaat yang besar kepada pembangunan wilayah KETENGAH.

Galeri

Hubungi Kami

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
Bandar Al-Muktafi Billah Shah
23400 Dungun, Terengganu
Tel: +609 8231000
Faks: +609 8223105

Statistik Pelawat

Hari Ini
252
Bulan Ini
17,187
Jumlah
3,962,067

Kemaskini: 30 September 2026

    © 2026 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah. Semua hak cipta terpelihara.