KETENGAH KINI RASMI SERTAI EKOSISTEM PERKONGSIAN DATA SEKTOR AWAM (MyGDX 2.0)

Selaras dengan Surat Arahan Ketua Pengarah (SAKP) Jabatan Digital Negara (JDN) Bilangan 6 Tahun 2025 bagi menyokong penguatkuasaan Akta Perkongsian Data 2025 [Akta 864], Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyahut penuh saranan ini dengan memastikan Platform Perkongsian Data MyGDX 2.0 bagi KETENGAH kini beroperasi sepenuhnya.
APA ITU MyGDX 2.0?
Perkongsian data yang cekap, selamat dan berkesan antara agensi merupakan salah satu pemangkin utama dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam berasaskan data.
Jabatan Digital Negara (JDN) telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Projek Malaysian Government Central Data Exchange (MyGDX 2.0) bagimemperkasa ekosistem perkongsian data kerajaan melalui penyediaan platform pertukaran data yang komprehensif, selamat, dan berkeupayaan tinggi.
KETENGAH telah berjaya memperoleh kelulusan daripada Jabatan Digital Negara (JDN) untuk menyertai Ekosistem Platform Perkongsian Data MyGDX dan ianya disokong dengan persiapan rapi dari segi keupayaan pasukan teknikal KETENGAH.
Dengan kejayaan pelaksanaan MyGDX ini, KETENGAH kini bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan perkongsian data merentas agensi kerajaan secara selamat dan berkesan. Usaha ini membuktikan komitmen KETENGAH dalam menyokong dasar pendigitalan Kerajaan demi meningkatkan kecekapan pengurusan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga KETENGAH serta pasukan teknikal yang terlibat dengan kejayaan ini.





