KEJOHANAN PETANQUE PIALA KETUA-KETUA JABATAN DAERAH DUNGUN 2026

Kejohanan Petanque Piala Ketua-Ketua Jabatan Daerah Dungun 2026 telah berlangsung dengan meriah pada 21 hingga 22 Ogos 2026, bertempat di Gelanggang Petanque PADU, Dungun, Terengganu.
Kejohanan yang menghimpunkan lapan buah jabatan dan agensi di Daerah Dungun ini melibatkan penyertaan daripada KETENGAH, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Pejabat Tanah dan Daerah Dungun (PTDD), Pejabat Kesihatan Daerah Dungun (PKD Dungun), Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu, Kampus Dungun (UiTM Dungun), Pejabat Pendidikan Daerah Dungun (PPD Dungun) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun (IPD Dungun).
Dalam saingan yang berlangsung penuh semangat kesukanan dan persahabatan, KETENGAH telah muncul sebagai Johan Kejohanan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, medal serta Piala Pusingan. Tempat kedua pula dimenangi oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD), manakala UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun menduduki tempat ketiga.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan KETENGAH atas kejayaan yang diraih serta kepada semua pasukan yang telah memberikan saingan terbaik sepanjang kejohanan. Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengembangkan aktiviti sukan petanque, malah turut menjadi medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, kerjasama dan semangat setiakawan antara jabatan dan agensi di Daerah Dungun.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan ini. Pejabat Tanah dan Daerah Dungun (PTDD) turut dipilih sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Petanque Piala Ketua-Ketua Jabatan Daerah Dungun pada tahun hadapan. Semoga kesinambungan kejohanan ini dapat terus memperkukuhkan jalinan kerjasama dan ukhuwah antara jabatan serta agensi di Daerah Dungun.
Tahniah kepada semua peserta dan selamat berjumpa di gelanggang pada tahun hadapan!





