KEMAS TINJAU INFRASTRUKTUR ICT DAN KEMUDAHAN WIFI KETENGAH DI TASIK KENYIR

PENGKALAN GAWI, TASIK KENYIR, 27 September 2026 – Seramai 28 orang wakil daripada Unit Teknologi Maklumat, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah mengadakan lawatan kerja ke KETENGAH bagi meninjau kemudahan WiFi serta infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya di kawasan Tasik Kenyir.
Delegasi KEMAS diketuai oleh Encik Syarul Emy bin Abu Samah, Ketua Unit Teknologi Maklumat KEMAS, dan turut disertai oleh Encik Mohd Surizalman bin Mohd Zain, Ketua Penolong Setiausaha (ICT) R, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Encik Aimi Fadzi bin Mokhtar, wakil Jabatan Digital Negara (JDN).
Ketibaan delegasi telah disambut oleh Encik Hazroll Eizwal bin Jasni, Pengurus Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi KETENGAH.
Sepanjang lawatan, delegasi telah dibawa meninjau Taman Herba serta kemudahan WiFi berasaskan teknologi Starlink yang disediakan di pulau berkenaan. Delegasi turut berpeluang melihat pelaksanaan kemudahan ICT dan capaian internet yang menjadi antara inisiatif KETENGAH dalam memperluas akses digital serta menyokong keperluan komunikasi di kawasan luar bandar.
Program kemudiannya diteruskan dengan Mesyuarat Unit Teknologi Maklumat KEMAS Bil. 3/2026 yang diadakan di Pejabat KETENGAH, Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.
Lawatan kerja ini bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan ICT, malah menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama khususnya dalam meneroka pendekatan serta penyelesaian teknologi yang mampu mempertingkat keupayaan infrastruktur digital dan memperluas capaian perkhidmatan digital di kawasan luar bandar.





