KETENGAH TURUT SERTA DALAM PERTANDINGAN ANUGERAH KUALITI DAN INOVASI KKDW 2026

KUALA LUMPUR, 29 September 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) turut serta mengambil bahagian dalam Pertandingan Anugerah Kualiti dan Inovasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026 bagi kategori Anugerah Inovasi AI Terbaik, bertempat di MARA Knowledge Centre, Kuala Lumpur.
Dalam penyertaan tersebut, KETENGAH mengetengahkan inovasi KETENGAH AI-Powered Responsive Assistant (K-AIRA), sebuah sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkan bagi membantu memperkukuh pengurusan dan pemantauan projek-projek KETENGAH.
Kumpulan KETENGAH diketuai oleh Pengurus Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Encik Hazroll Eizwal bin Jasni, dalam mengetengahkan K-AIRA sebagai inovasi yang berpotensi membantu organisasi mengenal pasti risiko projek lebih awal serta menyokong tindakan yang lebih proaktif.
Selain KETENGAH, kategori Anugerah Inovasi AI Terbaik turut disertai oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), RISDA dan KEJORA.
Penyertaan ini selari dengan usaha KETENGAH dalam memanfaatkan perkembangan teknologi digital bagi memperkukuh pengurusan dan penyampaian perkhidmatan. Penggunaan teknologi AI melalui K-AIRA diharapkan dapat membantu pengurusan projek dilaksanakan dengan lebih teratur, cekap dan proaktif.
Usaha tersebut juga bertepatan dengan peranan KETENGAH dalam melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial di Wilayah KETENGAH. Pelaksanaan projek-projek pembangunan yang berkesan amat penting dalam memastikan kemudahan dan inisiatif pembangunan dapat disampaikan dengan baik serta memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.
Penyertaan KETENGAH dalam pertandingan ini turut menjadi platform untuk mengetengahkan potensi penggunaan teknologi AI dalam memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong usaha pembangunan luar bandar yang lebih mampan.





